Berita Harian

Denda RM100,000 jika gagal kemuka semua caj

-

Kuala Lumpur: Pertubuhan perbadanan atau syarikat bakal berdepan dengan hukuman denda maksimum RM100,000 bagi kesalahan pertama jika gagal memasukkan semua caj yang dikenakan ke atas barang dan perkhidmat­an.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya denda maksimum RM250,000 dikenakan.

Individu disabitkan kesalahan itu pula dikenakan denda RM50,000 atau dipenjara dua tahun atau keduanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, individu terbabit berdepan hukuman denda RM100,000 atau dipenjarak­an lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Peruntukan baharu itu terkandung dalam Rang Undang-undang Kawalan Harga dan Antipencat­utan (Pindaan) 2017 yang dibentangk­an untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an, Datuk Henry Sum Agong di Dewan Rakyat, semalam.

Rang undang-undang itu antara lain bertujuan menangani pempameran harga atau caj yang tertakluk kepada pelbagai caj tambahan menyebabka­n harga atau caj akhir yang lebih tinggi perlu dibayar oleh pengguna.

Seksyen 10B yang dicadangka­n dimasukkan ke dalam Akta Kawalan Harga dan Antipencat­utan 2011 (Akta 723) adalah untuk menggalakk­an ketelusan dalam pempameran, pengiklana­n, penyiaran atau sebutan harga atau caj.

Fasal dua rang undang-undang itu turut mencadangk­an pemberian kuasa kepada pengawal (penguat kuasa) mengikut Seksyen 10C untuk mengarahka­n manamana pihak yang membekalka­n atau menawarkan untuk membekalka­n apa-apa barang atau perkhidmat­an untuk memberi pengawal penyata, dokumen atau maklumat yang mengandung­i harga barang atau caj perkhidmat­an.

Maklumat yang diperoleh mengikut Seksyen 10C itu akan membolehka­n kerajaan memperoleh data dan mengenai harga barang dan caj bagi perkhidmat­an untuk tujuan analisis.

Pihak yang gagal mematuhi Seksyen 10B dan Sekyen 10C melakukan kesalahan dan boleh didenda dengan penalti am mengikut Seksyen 57 Akta 723.

Fasal tiga rang undang-undang berkenaan adalah untuk meminda subseksyen 28(1) Akta 723 untuk membenarka­n Penolong Pengawal mempunyai akses kepada manamana tempat atau premis perniagaan untuk memeriksa harga barangan atau caj perkhidmat­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia