Berita Harian

Evolusi kaligram singa Ali

Perubahan kepada harimau, macan kerana lebih dominan di alam Melayu

- Oleh Hafizah Iszahanid

Kaligram merujuk kepada reka bentuk huruf yang digubah untuk memperliha­tkan corak hiasan dan biasa ditemui dalam pelbagai budaya dan ketamaduna­n.

Antara yang popular ialah kaligram singa Ali yang biasa ditemui di Iran, Turki dan India. Di negara berkenaan, teks yang membentuk kaligram singa Ali adalah kalimah syahadah.

Pembantu Penyelidik Muzium Ashmolen, Universiti Oxford, Dr Farouk Yahya, berkata kaligram singa Ali juga biasa ditemui di Asia Tenggara, tetapi ia memiliki keunikan tersendiri yang boleh dikaitkan dengan pengalaman kebudayaan dan persekitar­an masyarakat­nya.

“Di Asia Tenggara, kaligram singa Ali ini boleh ditemui juga di Ceribon, Jawa Barat Indonesia; Pattani dan Kelantan.

“Ia biasanya digunakan sebagai azimat perlindung­an misalnya kalau di Ceribon, ia boleh ditemui antaranya dalam bentuk ukiran kaca.

“Ia juga boleh ditemui dalam al-quran, misalnya ada sebuah naskhah al-quran di Sumedang, Cirebon yang halaman atasnya ada kaligram singa Ali,” katanya dalam Wacana ATMA: Kaligram Singa Ali di Asia Tenggara di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.

Bendera Diraja Ceribon

Malah bendera Diraja Ceribon juga, tegas Farouk, menggunaka­n kaligram seperti halnya dengan bendera yang digunakan ketika Kelantan diperintah oleh Sultan Muhammad IV antara 1899 hingga 1920.

Bagaimanap­un, di Asia Tenggara, kata Farouk, teks yang membentuk kaligram berkenaan bukan kalimah syahadah, tetapi sebahagian daripada surah Alsaf.

Di Asia Tenggara juga, kaligram singa Ali ini lebih dikenali sebagai harimau Ali atau macan Ali kerana pengaruh harimau lebih dominan berbanding singa.

“Singa bukan haiwan yang berasal dari Asia Tenggara. Dalam konteks Asia Tenggara, harimau lebih dominan, lambang kekuatan dan keberanian.

“Kuasa harimau bukan sahaja pada fizikal, tetapi juga ada kaitan dengan kuasa ghaib. Dalam masyarakat Melayu juga ada kepercayaa­n saka harimau dan harimau jadi-jadian.

“Malah kekuatan harimau juga terlihat pada kepercayaa­n menjadikan anggota tubuhnya sebagai azimat untuk keberanian atau keperkasaa­n seperti penggunaan tulang, gigi dan kuku harimau,” katanya.

Tegas Farouk, imej harimau juga dianggap sebagai berkuasa kerana tatu harimau selalu jadi pilihan di Thailand, selain baju azimat dengan gambar harimau yang digunakan oleh etnik Shan di Myanmar dan Thailand.

Singa bukan haiwan yang berasal dari Asia Tenggara. Dalam konteks Asia Tenggara, harimau lebih dominan, lambang kekuatan dan keberanian”

Farouk Yahya,

Pembantu Penyelidik Muzium Ashmolen, Universiti Oxford

 ??  ??
 ??  ?? Buku ditulis Farouk.
Buku ditulis Farouk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia