Berita Harian

Radiah yakin beri emas untuk negara

- Oleh Haika Khazi

Kuala Lumpur: Atlet paralimpik Malaysia, Siti Noor Radiah Ismail optimis menghadiah­kan pingat emas dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajar­an) kepada Malaysia di Sukan Para ASEAN, September ini, biarpun mengalami kecederaan buku lali.

Pemenang pingat gangsa Sukan Paralimpik Rio 2016 itu, berkata dia lega kerana kecederaan buku lali ketika melakukan lompatan di percubaan keenam pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London, minggu lalu semakin pulih.

Siti Radiah bersyukur kerana kecederaan itu tidak begitu serius, biarpun pada peringkat awal terpaksa berjalan mengguna tongkat.

“Buku lali kanannya itu bengkak beberapa hari dan kini semakin surut, sekali gus membolehka­nnya berjalan tanpa menggunaka­n tongkat,” katanya semalam.

Berikutan itu, jaguh lompat jauh T20 berasal dari Segamat, Johor itu berharap kecederaan itu pulih secepat mungkin bagi membolehka­n dia kembali menjalani lati- han seperti biasa.

“Buat masa sekarang saya hanya perlu berehat dan melakukan fisioterap­i bagi memastikan kecederaan buku lali yang saya alami ini sembuh seperti sedia kala.

Tetap sasaran

“Ini perlu kerana saya sudah menetapkan sasaran peribadi untuk menang pingat emas di Sukan Para ASEAN 2017 bagi menebus kekecewaan selepas gagal memenangi sebarang pingat di Kejohanan Olahraga Para Dunia, akibat kecederaan buku lali kanan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga paralimpik negara, R Jaganathan, berkata beliau lega kerana kecederaan buku lali Siti Radiah tidak begitu serius dan kini beransur sembuh.

“Saya berharap kecederaan itu cepat sembuh bagi membolehka­n Siti Radiah kembali menjalani latihan seperti biasa sebagai persiapan menghadapi Sukan Para ASEAN, yang bakal berlangsun­g tidak sampai dua bulan lagi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia