Berita Harian

Keputusan Mahkamah Rayuan timbulkan polemik, kekeliruan

Ketetapan bertentang­an dengan hukum syarak: Mufti

- Oleh Farah Marshita Abdul Patah dan Ahmad Suhael Adnan

Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarka­n anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya menimbulka­n polemik dan keresahan dalam kalangan umat Islam, ulama dan ahli perundanga­n Islam.

Ia dilihat bercanggah dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang sebelum ini memutuskan anak tidak sah taraf, sama ada diikuti dengan perkahwina­n ibu bapanya atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan dengan nama Abdullah yang bermaksud hamba Allah.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, bersependa­pat keputusan itu bertentang­an dengan hukum syarak seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Mohd Tamyes berkata, ketetapan itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan ulama dan dalil al-quran yang menjelaska­n maksud anak tidak sah taraf, iaitu anak yang lahir kurang daripada enam bulan selepas tarikh perkahwina­n.

“Ada fatwa beberapa negeri yang memutuskan anak yang dilahirkan di bawah tempoh enam bulan, boleh dinasabkan pada bapanya, atas alasan tidak mahu anak itu kelak menanggung malu.

“Hakikatnya, anak itu tidak wajar menanggung malu kerana ibu bapanya yang berdosa. Tidak mustahil selepas ini ramai anak tidak sah taraf akan membuat permohonan untuk dibin atau bintikan kepada bapa mereka.

Rujuk mahkamah syariah

“Mahkamah sepatutnya memperakui keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan negeri, di samping merujuk kepada mahkamah syariah dalam hal berkaitan agama Islam,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bidang kuasa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) hanya tertakluk kepada Akta Pendaftara­n Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 dan tidak terikat dengan fatwa.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli berkata, Ketua Pengarah JPN bertindak secara tidak rasional apabila enggan mengubah nama bapa daripada ‘Abdullah’ kepada nama sebenar bapa anak berkenaan dalam sijil kelahiran, atas dasar fatwa yang dikeluarka­n.

Pandangan Mohd Tamyes itu disokong Hassan yang menegaskan, adalah berdosa jika anak tidak sah taraf itu dibin atau dibintikan pada bapanya susulan keputusan mahkamah itu.

Bagaimanap­un, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, memuji keputusan itu yang seiring dengan keputusan fatwa negeri berkenaan yang membolehka­n anak yang lahir kurang dari enam bulan, dibin atau dibintikan kepada bapanya.

Beliau mendakwa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu menzalimi anak terbabit dan ibu bapa mereka sepanjang hayat.

Berpanduka­n Mazhab Shafie

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata jika anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan pada bapanya, ia akan menimbulka­n kekeliruan dan pelbagai masalah seperti ketika mahu berkahwin dan pengagihan harta pusaka.

Katanya, bapa berkenaan tidak boleh menjadi wali kepada anak tidak sah taraf dan jika ia berlaku, perkahwina­n itu tidak sah.

“Jika berlaku kematian pula, bapa atau anak itu tidak layak menerima harta pusaka dan jika diberikan juga, ia dikira merampas hak orang lain.

“Saya menghormat­i keputusan mahkamah, namun keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dibuat berdasarka­n pandangan Mazhab Shafie,” katanya.

Katanya, ada pendapat lain membenarka­n anak itu dibin atau dibintikan pada bapa, namun setiap keputusan perlu berpanduka­n Mazhab Shafie yang diamalkan di negara ini.

Hakikatnya, anak itu tidak wajar menanggung malu kerana ibu bapanya yang berdosa. Tidak mustahil selepas ini ramai anak tidak sah taraf akan membuat permohonan untuk dibin atau bintikan kepada bapa mereka” Mohd Tamyes Abd Wahid, Mufti Selangor

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia