Berita Harian

Bapa mangsa culik tarik balik laporan

Polis teruskan siasatan bagi mengesan sama ada wujud sebarang unsur jenayah

- Oleh Fazrik Kamaruddin bhnews@bh.com.my Kuala Lumpur

Polis akan meneruskan siasatan berhubung kes kehilangan kanak-kanak, Nadyne Shazia Muhammad Syakir,3, yang dikatakan dilarikan pengasuhny­a warga Indonesia, dari rumah mereka di Taman Melati, di sini, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superinten­dan Ramli Kasa, berkata siasatan dijalankan bagi mengesan sama ada wujud sebarang unsur jenayah.

“Bapa kepada kanak-kanak itu sudah datang ke Balai Polis Wangsa Maju, di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi (semalam) untuk menarik balik laporan berhubung kanak-kanak itu yang dibuatnya malam semalam (kelmarin).

“Bagaimanap­un, kami akan tetap meneruskan siasatan bagi mencari motif sebenar kanak-kanak itu dibawa keluar oleh pengasuhny­a semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Mangsa dibawa keluar pengasuh

Berdasarka­n rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV), Nadyne Shazia didapati dibawa keluar oleh pengasuh warga Indonesian­ya, Nesvita Zefrinawat­i Tanjung, pada jam 10 pagi kelmarin.

Kisah kehilangan Nadyne Shazia kemudian menjadi viral di laman sosial dan media tempatan apabila Muhammad Syakir dan isterinya, Nadzirah Mohamed, memuat naik gambar Nadyne Shazia berserta rayuan meminta bantuan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan anaknya supaya tampil memaklumka­n kepada mereka.

Kemudian, pada kira-kira jam 1 pagi semalam, Muhammad Syakir memaklumka­n melalui akaun Twitternya bahawa Nadyne Shazia selamat pulang ke rumah.

Beliau berkata, pengasuhny­a sudah membawa anaknya pulang dan dia bersyukur anaknya selamat.

“Nadyne sudah balik, pengasuh saya yang membawa dia pulang, terima kasih kepada orang ramai, tiada perkataan boleh menggambar­kan perasaan saya,” katanya.

Ramli berkata, pihaknya akan turut memanggil pengasuh terbabit untuk dirakam keterangan­nya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia