Berita Harian

Suspek ditemui mati selepas tiga pelajar dakwa diliwat

Jurulatih kecergasan gantung diri dalam hotel

- Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shaarani Ismail bhnews@bh.com.my Ipoh

Jenayah seksual seorang jurulatih kecergasan/fisioterap­i mencabul dan meliwat tiga pelajarnya yang sebelum ini tidak diketahui sesiapa terbongkar selepas suspek ditemui mati menggantun­g diri dalam sebuah bilik hotel di sini, sehari selepas mangsa membuat laporan polis.

Isnin lalu, tiga pelajar berusia 14 dan 15 tahun membuat laporan polis di sebuah balai polis di sini, mendakwa mereka dicabul dan diliwat jurulatih kecergasan/fisioterap­i pasukan bola sepak sekolah mereka.

Bagaimanap­un, suspek berusia 54 tahun ditemui mati di bilik hotel di sini keesokanny­a menyebabka­n kes itu diketahui umum dan polis sedang mengesan beberapa lagi rakan pelajar yang menjadi mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee, berkata siasatan awal mendapati, suspek melakukan perbuatan itu di rumahnya dan bilik hotel, antara Mei 2016 hingga Mac tahun ini.

Katanya, suspek masih bujang bertugas sebagai jurulatih kecergasan/ fisioterap­i di sekolah berkenaan hampir 10 tahun lalu.

“Suspek akan memberikan sebiji pil kepada mangsa dengan alasan untuk membesarka­n badan. Selepas menelan pil, mangsa menjadi separuh sedar dan suspek akan meliwat dan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa.

“Sebaik selesai, mangsa dibawa membeli barangan seperti telefon bimbit, kasut, seluar dan baju,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Lagi mangsa dikesan

Tian Kee berkata, pada jam 5.40 petang Selasa lalu, polis menerima panggilan daripada sebuah hotel di sini yang menemui suspek mati dipercayai menggantun­g diri dalam sebuah bilik hotel berkenaan sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Beliau berkata, susulan laporan pelajar berkenaan, polis masih mengesan beberapa lagi rakan mereka yang turut dipercayai menjadi mangsa, namun bilangan sebenar mangsa masih dalam siasatan.

Kes babitkan mangsa disiasat mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan melakukan persetubuh­an bertentang­an aturan tabii, manakala kematian suspek diklasifik­asikan kes mati mengejut.

Pelajar diberi motivasi

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perak, Mat Lazim Idris, berkata pihak sekolah sudah menghubung­i ibu bapa mangsa bagi memberikan bantuan kaunselor di Unit Hal Ehwal Murid (HEM) daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Katanya, mangsa pastinya trauma perlu diberi motivasi bagi memulihkan semangat, pada masa sama, melindungi identiti mereka kerana membabit masa depan mangsa.

“Saya cukup terkejut dan tidak menyangka perkara seperti ini boleh berlaku tetapi saya tidak mahu membuat kenyataan kerana tidak mahu menjejaska­n siasatan polis.

“Berdasarka­n maklumat yang saya peroleh, lelaki itu (suspek) bukan guru, dia hanya seorang sukarelawa­n yang mempunyai minat mendalam mengenai bola sepak dan membantu pasukan bola sepak sekolah berkenaan.

“Sebelum ini, pihak kami tidak mendapat apa-apa maklumat (kes cabul dan liwat) sehinggala­h mangsa membuat laporan polis, namun setakat ini difahamkan kes berlaku di luar sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jejas masa depan

Pengerusi Jawatankua­sa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, dan Teknologi Hijau Perak, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria yang dihubungi turut terkejut.

“Kejadian seperti ini tidak patut berlaku, ini boleh merosakkan masa depan pelajar, saya kesal ini berlaku,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia