Berita Harian

7 ditahan kurang 4 jam samun kedai

-

Sepang: Tidak sampai empat jam melarikan barang kemas bernilai RM3 juta, tujuh lelaki dipercayai suspek kes berkenaan diberkas di Kampung Lalang, Ampar Tenang, Dengkil di sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata suspek dipercayai terbabit dalam kes samun sebuah kedai emas di pusat beli-belah AEON BIG, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, pagi semalam.

Fadzil berkata, semua mereka diberkas hasil tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang dan JSJ Selangor, berdasarka­n maklumat dan risikan yang dijalankan.

“Kami dapat menangkap tujuh lelaki, selain menemui sejumlah besar barangan emas, penukul dan senjata api.

“Buat masa ini, kami masih menjalanka­n siasatan dan sidang media akan dibuat oleh Ketua Polis Selangor esok (hari ini),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Bersenjata pistol, tukul besi

Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi semalam, empat lelaki bersenjata­kan pistol dan penukul besi, dengan memakai topi keledar penutup penuh serta bersarung tangan hitam, memecah masuk ke dalam kedai emas yang terletak di tingkat bawah pusat beli-belah berkenaan.

Suspek kemudian memecahkan rak kaca pameran barang kemas dan memasukkan barang kemas dalam beg pakaian, manakala salah seorang suspek yang bersenjata­kan pistol dipercayai melepaskan lima das tembakan ke arah pengawal keselamata­n.

Mereka kemudian dilaporkan melarikan diri dengan hasil rompakan menggunaka­n sebuah kenderaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia