Berita Harian

Wanita maut dihempap lori

Kenderaan bawa batu, pasir rempuh Perodua Viva, empat kenderaan

- Oleh Muhammad Mustakim Ramli

Hasrat tiga rakan sekerja dari Langkawi menikmati menu daging bakar popular di Kuala Perlis, di sini buat kali pertama, berakhir tragedi selepas seorang daripada mereka maut dalam kemalangan jalan raya tengah hari semalam.

Siti Masturah Azmi, 33, maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk belakang kereta jenis Perodua Viva yang remuk, sejurus kenderaan dinaiki dirempuh dan dihempap lori membawa muatan batu dan pasir.

Selain Perodua Viva berkenaan, empat lagi kenderaan membabitka­n dua Proton Exora serta Proton Perdana dan Proton Persona turut dirempuh lori berkenaan, menyebabka­n tiga lagi cedera.

Gagal elak Proton Exora

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari apabila lori dari arah Lebuhraya Changlun-kuala Perlis itu gagal mengelak sebuah Proton Exora di persimpang­an lampu isyarat berhampira­n Padang Besar Selatan, di sini, sebelum melanggarn­ya dan terus terbabas merempuh empat lagi kenderaan pelanggan restoran daging bakar itu yang diletakkan di pinggir laluan utama.

Ahli keluarga Siti Masturah yang enggan nama dikenali, berkata mangsa yang juga kakitangan Kolej Vokasional Langkawi berada di Kangar atas urusan kerja bersama dua rakan setugas dan ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke Kuala Perlis untuk pulang ke pulau pelanconga­n itu.

“Saya difahamkan mereka singgah seketika untuk menikmati daging bakar, namun belum sempat masuk ke kedai, kereta yang diparkir dirempuh menyebabka­n Siti Masturah meninggal,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Siti Masturah yang berasal dari Ulu Melaka di Langkawi meninggalk­an seorang suami dan dua anak berusia tiga dan 10 tahun.

Bunyi hon panjang

Sementara itu, pekerja restoran daging bakar berkenaan, Nor Diana Dan, 28, berkata dia ada terdengar bunyi hon daripada lori terbabit seakan-akan memberi amaran, sebelum kenderaan berat itu merempuh beberapa kenderaan di depan tempat kerjanya.

“Bunyi hon itu panjang dan ia mengejutka­n pelanggan di kedai, disusuli dentuman kuat akibat pelanggara­n yang menyebabka­n beberapa pelanggan di luar kedai mengalami kecederaan.

“Ada seorang pelanggan perempuan itu baru hendak memasuki kereta sebelum keretanya dilanggar, manakala wanita yang maut itu bersama dua rakannya baru sahaja meletakkan kereta sebelum dilanggar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superinten­dan Wari Kiew, berkata enam kenderaan termasuk sebuah lori terbabit dalam kemalangan berkenaan, dengan empat mangsa cedera dan seorang wanita maut di lokasi kejadian.

“Kita masih menjalanka­n siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan setakat ini pemandu lori berusia 40 tahun sudah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya.

 ??  ?? Kenderaan yang dirempuh dan dihempap lori di Lebuhraya Changlun-kuala Perlis, semalam.
Kenderaan yang dirempuh dan dihempap lori di Lebuhraya Changlun-kuala Perlis, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia