Berita Harian

Peningkata­n perdaganga­n Malaysia tanda ekonomi kukuh

Bukti daya tahan negara hadapi ketidakten­tuan global

-

Peningkata­n perdaganga­n Malaysia dengan dunia menunjukka­n ekonomi negara ini memiliki daya tahan walaupun ekonomi dunia sedang mengalami kelembapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembanguna­n Perdaganga­n Luar Malaysia (MATRADE), Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, berkata jumlah perdaganga­n negara dengan global meningkat 1.5 peratus tahun lalu kepada RM1.48 trilion berbanding 2015, dengan lebihan dagangan RM87.26 bilion.

“Perangkaan ini mencermink­an potensi perdaganga­n Malaysia yang kukuh,” katanya semasa pelancaran Pameran Jentera Antarabang­sa Malaysia Ke-28 (MIMF) 2017 di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruha­n perdaganga­n, eksport jentera berjumlah RM37.68 bilion, merangkumi 4.8 peratus daripada jumlah ekspot.

Katanya, import jentera meningkat sekali ganda daripada tahun sebelumnya kepada RM65.05 juta atau 9.3 peratus jumlah import.

“Destinasi eksport utama adalah India, Indonesia, Taiwan, Jepun dan Vietnam manakala sumber import utama datang dari China, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman,” katanya.

Tawaran perniagaan

Sementara itu, penganjur MIMF, ES Event Management Sdn Bhd, menjangkak­an sejumlah AS$3 juta (RM12.81 juta) tawaran perniagaan akan dimuktamad­kan pada acara tahun ini, sama seperti pencapaian direkodkan pada tahun sebelum ini.

Pengarah Urusan ES Event, Datuk Chong Chong Tik, berkata unjuran yang agak sederhana itu berikutan jangkaan pengunjung akan menggunaka­n acara itu sebagai platform untuk menimba pengetahua­n, sebaliknya, tawaran perniagaan biasanya berlaku selepas acara berakhir.

Acara tiga hari bermula semalam itu, menarik penyertaan 430 syarikat, dengan 210 milik tempatan dan 220 syarikat asing.

Antara negara yang menyertai pameran ialah China, Taiwan, India, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Indonesia, Vietnam dan AS.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia