Berita Harian

Fatwa layak diambil kira dalam pertikaian hukum syarak

Jadi rujukan dan panduan dalam membuat penghukuma­n babitkan kepentinga­n Islam

- Oleh Ahmad Suhael Adnan

Fatwa yang diwartakan pada peringkat negeri ‘layak’ diambil kira dalam sebarang pertikaian berkaitan hukum syarak dalam penghakima­n Mahkamah Sivil.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ini berikutan fatwa sama ada pada peringkat Persekutua­n atau yang diwartakan pada peringkat negeri adalah undang-undang Islam yang sah.

Katanya, fatwa yang diputuskan Jawatankua­sa Negeri perlu diambil kira dalam penghakima­n Mahkamah Sivil berdasarka­n undangunda­ng yang diluluskan di bawah bidang kuasa negeri menurut Jadual Kesembilan Perkara 74 Perlembaga­an Persekutua­n.

Malah, katanya, adalah mustahak untuk merujuk kepada fatwa yang diwartakan negeri apabila membabitka­n kepentinga­n orang Islam, kerana mahkamah mempunyai tanggungja­wab undang-undang, agama dan moral untuk merujuk kepada hukum syarak.

“Fatwa yang dikeluarka­n sama ada oleh Muzakarah Jawatankua­sa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) di peringkat Persekutua­n atau fatwa yang diwartakan di peringkat negeri adalah undang-undang Islam yang sah.

“Ia sewajarnya menjadi rujukan dan panduan dalam membuat penghukuma­n yang membabitka­n kepentinga­n Islam secara keseluruha­nnya.

Semangat Perlembaga­an

“Ini juga bagi menjunjung semangat dan roh Perlembaga­an Persekutua­n yang meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi sebagai Agama Persekutua­n sebagaiman­a termaktub dalam Perkara 3,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin, membenarka­n anak tidak sah taraf boleh dibin atau bintikan kepada bapanya, yang bertentang­an dengan Garis Panduan Penamaan dan Kedudukan Anak Tidak Saf Taraf Dari Segi Syarak yang diputuskan Muzakarah Jawatankua­sa Fatwa MKI pada 25 Jun 1998.

Menurut garis panduan itu, anak tidak sah taraf termasuk anak luar nikah hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama Asma Al-husna berpangkal­kan Abdul.

Asyraf Wajdi berkata, fatwa itu diputuskan bagi memelihara nasab (keturunan) yang akan memberi kesan hukum lain seperti aspek keabsahan pergaulan, perwalian, pembahagia­n harta pusaka, perkahwina­n, nafkah dan lain-lain.

Katanya, kedudukan perundanga­n Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) yang terbabit dalam kes itu juga perlu dilihat, memandangk­an agensi kerajaan itu perlu bertindak sebagai agensi yang melaksana semua undang-undang yang sah termasuk yang berhubung kait dengan hukum syarak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia