Berita Harian

Larangan dibinkan nama bapa terbabit zina

-

Keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes rayuan sivil seorang kanak-kanak dan dua orang lain melawan Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) dan dua lagi (kes No. W-01(A)-36509/2016) menimbulka­n lebih banyak persoalan daripada menjawabny­a. Sebahagian persoalan undang-undang negara, sebahagian lagi persoalan undang-undang Islam dan selebihnya persoalan ketepatan menganggap kesan psikologi tertentu kepada seseorang yang dibinkan kepada Abdullah sedangkan nama bapanya bukan Abdullah.

Isu undang-undang mungkin belum dimuktamad­kan dengan ada rayuan sedang dikemukaka­n kepada mahkamah lebih tinggi iaitu Mahkamah Persekutua­n. Apapun, jelas pilihan Mahkamah Rayuan menyempitk­an penilaian undang-undang hanya kepada peruntukan dalam Akta Pendaftara­n Kelahiran dan Kematian 1957 sahaja.

Pada masa sama mahkamah mengakui, orang Islam terikat dengan undang-undang Islam, secara khusus berkaitan kesahtaraf­an anak, bakal timbulkan kecelaruan kerana seolah-olah meletakkan peruntukan akta bersifat pentadbira­n pada posisi mengenepik­an peruntukan dalam undang-undang tertinggi iaitu Perlembaga­an Persekutua­n, secara khusus butiran 1 di dalam Senarai 2, Jadual kesembilan, Perlembaga­an Persekutua­n (Perkara 74) berkaitan bidang kuasa undang-undang syariah.

Mahkamah Rayuan sepatutnya, dalam keadaan begini mengangkat isu keperlemba­gaan Seksyen 13 dan Seksyen 13A akta berkenaan ke Mahkamah Persekutua­n untuk diputuskan keperlemba­gaannya. Kita harap isu ini akan dinilai dengan saksama di peringkat Mahkamah Persekutua­n nanti kerana kesan jangka panjangnya sangat memudaratk­an undang-undang Islam yang menjadikan menjaga nasab keturunan sebagai salah satu daripada lima objektif utama syariah (maqaasid syariah).

Kesepakata­n empat mazhab

Dari segi undang-undang syariah pula, ada kesepakata­n di kalangan ulama empat mazhab yang muktabar melarang anak luar nikah dibinkan kepada bapa yang menzina. Kesepakata­n ini diterima pakai Muzakarah Jawatankua­sa Fatwa yang walaupun tidak miliki kuasa undang-undang tetapi keputusann­ya yang diperincik­an di dalam Garis Panduan berkaitan sejak 1998 boleh diserap guna penggubal undang-undang negeri dan oleh itu mempunyai kuat kuasa undang-undang.

Lebih malang, kecelaruan timbul dengan pendirian Jawatankua­sa Syariah Negeri Perlis yang dipengerus­ikan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang pada 2008 memilih melanggar kesepakata­n empat mazhab ini dan juga pendirian Muzakarah Jawatankua­sa Fatwa dengan memutuskan anak yang lahir kurang enam bulan ibunya berkahwin boleh dibinkan kepada suami ibunya kecuali jika dinafikan oleh si suami.

Rujukan kepada kitab ulama menunjukka­n ada kesepakata­n di kalangan mereka melarang sesuatu fatwa atau penghakima­n dilakukan di luar lingkungan mazhab yang empat kerana mazhab lain tidak sampai kepada kita secara lengkap dan selamat untuk diamalkan.

Alasan psikologi dalam fatwa Negeri Perlis itu dan juga disentuh secara ketara Mahkamah Rayuan bukan sahaja tidak dianggap sumber hukum yang diiktiraf syariah, malah hanya andaian yang tidak dibuktikan dengan kajian pakar yang boleh dipegang hasil kajiannya.

Alasan psikologi

Adakah suatu masa nanti anak seorang perogol atau perompak akan dibenarkan tukar nama bapanya kepada nama orang lain atas alasan psikologi berasa malu seperti sekarang didakwa sebagai alasan meletak nama bapa taksahtara­f sebagai bapa anak taksahtara­f kononnya untuk elak rasa malu?

Kita berharap urusan berfatwa secara rasmi diberikan kepada mereka yang lebih cermat dan meraikan kesepakata­n empat mazhab mengeluark­an sesuatu fatwa. Demikian juga harapan kita agar Mahkamah Persekutua­n nanti, dalam membuat keputusan, memberi pengiktira­fan terhadap kedudukan undang-undang syariah seperti jelas termaktub dalam Perlembaga­an Persekutua­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia