Berita Harian

Terkejut LHDN maklum sudah meninggal

Polis Bantuan dedah terima surat agensi tuntut isteri bayar tunggakan

- Oleh Rosli Ilham dan Luqman Arif Abdul Karim bhnews@bh.com.my

Seorang anggota polis bantuan yang mendedahka­n menerima surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyatakan dia sudah meninggal dunia, bakal menerima permohonan maaf daripada agensi itu.

Amran Mohamed, 45, berkata, bukan sahaja dia dikatakan sudah meninggal dunia, isterinya diminta menjelaska­n baki hutangnya yang tertunggak sebanyak RM1,728.50 dengan agensi terbabit.

Isteri Amran, Zakiah@normah Sulong, 43, menerima surat daripada LHDN ke alamat rumahnya di Taman Murni Perdana, Paka, kelmarin.

“Surat itu ditandatan­gani seorang pegawai Unit Pungutan LHDN Terengganu bertarikh 25 Julai, meminta isteri menjelaska­n baki hutang saya yang tertunggak.

Mohon maaf

“Saya sangat terkejut selepas menerima surat itu yang menyatakan saya sudah meninggal sedangkan saya masih hidup,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Susulan daripada itu, LHDN dalam satu kenyataan menjelaska­n, berlaku kesilapan data borang dan kecuaian pihaknya dalam menentukan status pembayar cukai beralamat di Dungun, Terengganu itu.

Katanya, semakan lanjut mendapati pembayar cukai masih hidup, justeru LHDN memohon maaf atas kesilapan surat terbabit yang kemudian menjadi viral di laman sosial.

“Surat permohonan maaf akan dihantar kepada pembayar cukai berkenaan dan tindakan bersesuaia­n bakal diambil bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang, sekali gus menjaga nama baik LHDN sebagai pentadbir cukai langsung negara,” menurut agensi itu.

Amran yang bertugas sebagai polis bantuan dengan PETRONAS berkata, dia tidak pernah mengabaika­n bayaran cukai pendapatan.

“Setiap bulan, gaji saya dipotong secara berjadual dan majikan membuat bayaran kepada LHDN. Saya berharap perkara begini tidak berulang pada masa akan datang terhadap diri saya atau orang lain,” katanya.

 ?? [FOTO ROSLI ILHAM/BH] ?? Amran menunjukka­n surat yang diterima daripada LHDN yang meminta Zakiah menjelaska­n bayaran tunggakan cukai suaminya yang didakwa sudah meninggal dunia.
[FOTO ROSLI ILHAM/BH] Amran menunjukka­n surat yang diterima daripada LHDN yang meminta Zakiah menjelaska­n bayaran tunggakan cukai suaminya yang didakwa sudah meninggal dunia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia