Berita Harian

Gejala kegagalan buah pinggang

Perubahan air kencing, berbuih petanda awal

- Oleh Halina Mohd Noor halina_mdnoor@bh.com.my

Kencing berbuih atau kuantiti air kencing berkuranga­n adalah antara petanda buah pinggang gagal berfungsi.

Kerap letih, hilang selera makan, badan bengkak dan gatal-gatal juga antara gejala buah pinggang bermasalah.

Bagaimanap­un, sebahagian besar gejala ini hanya akan timbul apabila kegagalan fungsi buah pinggang sudah berada di tahap yang serius.

Pakar Perubatan Nefrologi, Hospital Pantai Batu Pahat, Dr Ema Juliaty Jamaluddin, berkata kebanyakan daripada pesakit tidak menyedari buah pinggang mereka mengalami kegagalan kerana tiada petanda atau gejala di peringkat awal.

Menurut kajian hanya empat (4) peratus dalam kalangan pesakit menyedari bahawa mereka mengalami kegagalan buah pinggang kronik ini.

Kesan darah tinggi, kencing manis

“Punca utama kegagalan buah pinggang di negara ini adalah disebabkan oleh penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.

“Kegagalan buah pinggang juga boleh berlaku tanpa disedari akibat masalah sistem auto imun yang mana sistem pertahanan tubuh menyerang buah pinggang seperti Sistemik Lupus Erythemato­sus (SLE), Immunoglob­ulin A Nefropati (IGA Nephropath­y) dan pelbagai lagi penyakit lain seperti batu karang dan cyst (Polycstic kidney disease) antara sebab terjadinya kegagalan buah pinggang kronik ini,” katanya.

Ada sesetengah keadaan di mana individu yang mengalami obesiti atau indeks jisim tubuh (BMI) yang terlalu tinggi berisiko mendapat kegagalan buah pinggang.

Jalani saringan air kencing

Justeru, bagi mereka yang sihat tanpa penyakit kronik disarankan menjalani ujian saringan air kencing dan darah sekali setiap tahun bagi mengesan kehadiran protein atau sebarang masalah ke atas buah pinggang.

“Pengesanan awal pada tahap satu hingga tiga membantu memperlaha­nkan kerosakan buah pinggang menerusi rawatan diberikan.

“Sekiranya kegagalan berpunca daripada penyakit kronik seperti kencing manis atau tekanan darah tinggi, rawatan intensif dijalankan melalui pengawalan penyakit dan corak pemakanan,” katanya.

Kegagalan fungsi buah pinggang yang sudah berada di tahap empat, akan cepat merosot ke tahap lima.

Persediaan awal jalani dialisis

Pada ketika ini, mereka memerlukan persediaan untuk menjalani dialisis-seperti menyediaka­n ‘tapak’ (arterio-venous fistula) untuk rawatan hemodialis­is atau peritoneal dialisis (PD) dan juga persediaan psikologi serta mental.

Namun begitu, Dr Ema menjelaska­n, “penyelidik­an (ke atas pesakit buah pinggang kronik) menunjukka­n intervensi awal dengan kawalan darah tinggi (termasuk pemilihan ubat darah tinggi antiprotei­n e.g ‘ACEI’ dan ‘ARB’), kencing manis yang baik, diet kurang fosfat dan protein berserta terapi asid keto boleh melewatkan bermulanya dialisis sekiranya pesakit mendapat rawatan susulan dan pemakanan yang betul”.

Pengambila­n protein pada kadar yang berlebihan boleh membebanka­n fungsi penapisan buah pinggang.

“Ini menyebabka­n protein berlebihan yang gagal ditapis masuk ke dalam air kencing, menyebabka­n ia keluar dalam bentuk berbuih buih (proteinuri­a).

“Walaupun pengambila­n protein dikurangka­n, pengambila­n terapi asid keto (selari dengan diet rendah protein) boleh membekalka­n protein penting untuk fungsi badan dan mencegah malnutrisi dalam kalangan pesakit buah pinggang.

“Kajian ke atas pesakit buah pinggang kronik membuktika­n terapi asid keto, jika diambil dengan diet yang betul, boleh mengurangk­an sisa nitrogen (yang terkumpul dalam badan sebagai bahan toksik),” kongsi Dr Ema.

Secara keseluruha­nnya, rawatan rapi berserta pemakanan dan gaya hidup yang sihat menjamin kesihatan buah pinggang, seterusnya mengekalka­n kualiti hidup.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia