Berita Harian

Rooney teruja kembali bantu Everton

-

Liverpool: Wayne Rooney mengakui peluang beraksi semula buat Everton adalah satu ‘perasaan yang hebat’ selepas meraih kemenangan sulung dalam kepulangan­nya ke Goodison Park.

Bekas penyerang Manchester United itu tampil kali pertama menyarung jersi Toffees selepas 14 tahun dalam pusingan ketiga kelayakan Liga Europa menentang Ruzomberok, semalam.

Jaringan babak kedua Leighton Baines menghadiah­kan skuad kendalian Ronald Koeman kemenangan 1-0 dalam aksi pertama di sini dan Rooney berkata: “Ia sesuatu yang saya nanti-nantikan sejak beberapa minggu yang lalu.

“Jelas sekali ia amat hebat untuk kembali ke Goodison Park dan menyarung jersi biru ini.

“Perlawanan ini begitu penting buat kami, jadi saya perlu memastikan dapat mengawal emosi. Saya sudah berjaya lakukannya dan kini boleh fokus kepada bola sepak.”

Diminta mengulas mengenai perlawanan itu, Rooney berkata: “Ia masih terlalu awal... Saya tahu kami boleh beraksi lebih baik tetapi apa yang penting adalah untuk kami peroleh kemenangan dan tidak bolos.”

Kembali posisi asal

Diturunkan di posisi kegemarann­ya selaku penyerang, Rooney bagaimanap­un gagal memberi ancaman ke gawang Ruzomberok dalam aksi berkenaan dan hanya lebih berkesan selepas peranannya ditukar ke sayap kanan.

Pertukaran posisi penyerang England itu dibuat selepas pengendali Everton Ronald Koeman membawa masuk seorang lagi penyerang baru Sandro Ramirez pada minit ke-61.

Selepas pertukaran itu, hanya empat minit diperlukan The Toffees untuk mendahului perlawanan menerusi cubaan Leighton Baines yang gagal diselamatk­an penjaga gol Ruzomberok, Matus Macik.

Ditanya mengenai pandangan Koeman terhadap aksi kompetitif pertama Rooney, pengendali itu berkata: “Bagus dan positif. Dia bekerja keras. Semakin positif selepas empat aksi pramusim.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia