Berita Harian

Khairul Hafiz semakin ghairah buru emas

- Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Walaupun kini sudah bergelar pemegang tiga rekod kebangsaan dalam acara 100m, 200m dan 4x100m, Khairul Hafiz Jantan menegaskan, fokus utamanya tetap tidak pernah berubah, iaitu memburu pingat emas dalam acara pecut di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Semangatny­a semakin membara selepas mencipta kejayaan bersama kuartet negara melakarkan rekod baru kebangsaan dalam acara 4x100 meter di Vietnam, sekali gus membuktika­n dia kini di landasan tepat untuk meraih emas di temasya dwitahunan di laman sendiri.

Setakat ini, kejayaan yang diraih Khairul Hafiz tidak pernah dilakukan oleh mana-mana atlet ketika berusia 19 tahun.

“Alhamdulil­lah ia kejayaan sepasukan. Terima kasih kepada jurulatih, Mohd Poad Md Kassim yang menjadi tulang belakang kejayaan saya dalam sukan ini.

“Ia membuatkan saya lebih bersemanga­t lagi. Bergelar pemegang rekod kebangsaan sahaja tidak cukup kerana jika boleh saya mahu menghadiah­kan emas kepada negara pada Sukan SEA nanti.

Akan terus berusaha

“Saya akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Kelmarin, Khairul bersama Badrul Hisyam Abdul Manap, Haikal Hanafi dan Jonathan Nyepa melakarkan rekod baharu kebangsaan 39.62 saat dalam acara 4x100m di Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam.

Mereka memadamkan rekod lama 39.67s yang dilakukan Jonathan, Mohd Izzudin Yahaya, Harith Amar Sobri dan Nixson Kennedy di Sukan SEA Singapura pada 2015.

Lebih membanggak­an ia dilakukan dalam tempoh dua minggu selepas Khairul memadam rekod kebangsaan berusia 49 tahun dalam acara 200m milik Tan Sri Dr M Jegathesan 20.92s yang dilakukan pada saingan separuh akhir Sukan Olimpik 1968 di Mexico.

Kejayaan itu memberi isyarat jelas dia mampu menggegark­an temasya dwitahunan itu yang akan membuka tirai dari 19 hingga 30 Ogos ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia