Berita Harian

Gol Ghaddar muktamad: FAM

Perak boleh kemuka aduan andai tidak berpuas hati dengan jaringan

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

Pengerusi Jawatankua­sa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaska­n betapa keputusan jaringan kedua Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika berdepan Perak, Rabu lalu adalah muktamad.

Namun, beliau berkata Perak boleh mengemukak­an aduan kepada badan induk itu sekiranya tetap tidak berpuas hati dengan jaringan Mohamed Ghaddar yang dianggap ofsaid.

“Ya betul (keputusan sudah muktamad), tapi kita sentiasa terbuka untuk sebarang aduan dan ia hendaklah disampaika­n dengan cara yang betul.

“Ada orang salah faham yang aduan bukan boleh ubah keputusan melainkan berkaitan perkara teknikal seperti pengadil tersilap bagi kad kuning kepada pemain.

“Aduan adalah untuk perbaiki mutu pengadilan yang mana bila mereka hantar aduan, kita boleh buat statistik apa kelemahan pengadil kita,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Tanggapan negatif

Sebelum ini, sudah ada beberapa pengadil dihukum termasuk digantung kerana melakukan kesilapan ketika mengendali­kan perlawanan.

Selain itu, Subkhiddin turut mengakui tidak terkesan dengan tanggapan negatif segelintir pihak, termasuk pengadil Liga Malaysia (Liga M) ketika ini dianggap lebih memihak kepada JDT kerana pemiliknya adalah Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, terlalu banyak persepsi atau tanggapan dan ada yang sengaja diada-adakan untuk tujuan merendah-rendahkan seseorang.

“Apapun, kita perlu lihat secara positif, contohnya yang berlaku kelmarin (gol Ghaddar), ia situasi sangat sukar dan keputusan bertaraf dunia yang perlu dibuat pengadil.

“Jika lihat kepada gambar yang sedang tular sekarang ini, pemain itu berada pada kedudukan ofsaid ketika bola itu belum disepak.

“Tapi, bila dilihat semula, semasa bola itu disepak, nak kata pemain itu ofsaid pun tidak, nak kata tidak ofsaid pun susah kerana kedudukan kamera itu sendiri di tengah-tengah dan tidak membantu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia