Kelantan gagal sedia ISMP atasi hakisan
Kuala Lumpur: Pelan Pengurusan Persisiran Pantai Bersepadu (ISMP) masih belum disediakan oleh Kerajaan Kelantan walaupun negeri itu mengalami hakisan pantai yang serius.
Laporan mendedahkan beberapa kelemahan berhubung aspek pengurusan projek pencegahan hakisan di Pantai Kemayan dan Pantai Irama, di negeri ini.
“Berdasarkan data yang dikeluarkan Kajian Hakisan Pantai Nasional (NCES), menunjukkan Kelantan antara enam negeri mengalami kadar hakisan paling serius dan kajian ISMP perlu disediakan.
“Semakan audit mendapati perkara itu gagal disediakan walaupun Kelantan mencatat kadar hakisan paling serius iaitu 73.4 peratus. Tanpa kajian itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak mendapat gambaran awal keadaan tapak yang mengalami hakisan dan sukar menentukan kesesuaian struktur pencegahan,” katanya.
Tak ikut spesifikasi
Kelemahan lain yang dikenal pasti adalah kerja tidak mengikut lukisan reka bentuk iaitu bahagian underlayer pada lapisan primary armour layer tidak dibuat, penyusunan batu tidak mengikut saiz serta terdapat saiz batu yang lebih kecil daripada gred minimum.
Selain itu, berlaku hakisan di kawasan berhampiran projek, pewartaan sebagai tanah kerajaan bagi kawasan pantai yang terbentuk belum selesai dan pemantauan serta penyenggaraan projek tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Ketua Audit Negara mencadangkan beberapa pendekatan diambil oleh JPS bagi memperbaiki kelemahan dalam laporan berkenaan bagi memastikan perkara itu tidak berulang.