Masyarakat Islam tiga negara mahu sertai World#quranhour
Komuniti Muslim di Korea Selatan, New Zealand dan Australia minat jayakan program
Komuniti Islam di Korea Selatan, New Zealand dan Australia sudah mengesahkan penyertaan pada program World#quranhour pada 31 Ogos ini.
Sekretariat Koordinator program, Siti Aisyah Ibrahim, berkata ia akan dijayakan di beberapa lokasi di tiga negara terbabit dengan sasaran sekurang-kurangnya 50 peserta di setiap lokasi.
“Masyarakat Islam di negara itu tidak ramai, jadi kami sasarkan setiap lokasi disertai 50 orang. Kami juga masih menanti pengesahan penyertaan masyarakat Islam di beberapa negara lain,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Siti Aisyah berkata, pihaknya menghargai usaha Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang bekerja keras melaksanakan kempen World#quranhour di luar negara.
Katanya, usaha berkenaan mendapat reaksi positif sehingga berjaya menarik penyertaan masyarakat Islam di Korea Selatan, New Zealand dan Australia.
Urus sendiri atur cara
“Ahli alumni dari negara terbabit yang belajar di sini menghebahkan program ini sehingga ramai penduduk Islam di negara mereka berminat dan mahu menyertainya. Mereka juga akan menguruskan sendiri atur cara program di negara masing-masing.
“Kami yakin akan ada lagi masyarakat Islam di negara lain yang akan turut sama menyertai program ini,” katanya.
World#quranhour berlangsung mulai jam 8.30 malam di Dataran Merdeka, pada 31 Ogos ini serta di masjid terpilih seluruh negara sempena wukuf di Arafah pada 9 Zulhijah yang kebetulan serentak Hari Kebangsaan.
Sepanjang program itu, bacaan ayat suci al-quran akan diperdengarkan secara serentak selama satu jam. Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) menjadi antara rakan media rasmi program berkenaan.
Ahli alumni dari negara terbabit yang belajar di sini menghebahkan program ini sehingga ramai penduduk Islam di negara mereka berminat dan mahu menyertainya. Mereka juga akan menguruskan sendiri atur cara program di negara masing-masing. Kami yakin akan ada lagi masyarakat Islam di negara lain yang akan turut sama menyertai program ini” Siti Aisyah Ibrahim, Sekretariat Koordinator Program World#quranhour