Meninggal selepas jatuh pengsan
Alor Setar: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan meninggal dunia, selepas dikatakan pengsan di rumah pengasuhnya dekat Padang Serai, Kulim pada Jumaat lalu.
Bapa mangsa yang juga anggota Bomba dan Penyelamat Balai Kulim, Mohd Nasri Mohd Yusof, 26, berkata anak tunggalnya, Hayfa Afrina, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), jam 3.40 petang kelmarin.
Beliau berkata, Hayfa hanya mengalami lebam pada dahi selepas dimaklumkan pengasuh, yang juga jiran mereka terjatuh dari kereta mainan pada Khamis.
“Ketika jemput Hayfa di rumah pengasuh, saya tengok ada kesan lebam pada dahi kanannya tetapi saya tidak syak apaapa kerana dia kelihatan ceria.
“Sehari selepas itu, saya terima mesej melalui aplikasi Whatsapp daripada pengasuh pada jam 4 petang memberitahu anak tidak sedarkan diri.
Hantar rumah pengasuh
“Saya bergegas ke rumah pengasuh dan mengejarkan Hayfa ke Hospital Kulim sebelum dia dipindahkan ke HSB,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, HSB, di sini, semalam.
Mohd Nasri berkata, anaknya dihantar kepada pengasuh berusia 20-an itu selepas isterinya, Farah Amelina Abdul Razak, 26, mendapat kerja di sebuah kilang di Kulim, sejak dua minggu lalu.
“Sebelum ini, isteri saya jaga sendiri anak kami tetapi apabila dapat tawaran kerja kami menghantarnya kepada pengasuh yang tinggal selang beberapa rumah sahaja,” katanya.