Kulit depan buku tuntut kreativiti seni
Penghasilan visual jadi fasa kritikal penerbitan, perlukan tenaga berganda
Penghasilan visual muka hadapan sesuatu buku mungkin tidak dianggap sukar, tetapi realitinya proses kreatif yang penting itu tetap membabitkan fasa kritikal dalam penerbitan.
Penulis Peranakan Cina Kelantan: Sintesis Cina Tanah Besar dan Melayu Tanah Melayu, Zinitulniza Abdul Kadir, berkata keupayaan membina idea dan kemampuan menterjemahkan nya adalah proses yang tidak difahami banyak pihak sehingga sering dianggap sebagai mudah.
“Tidak adil kerja seni ini dianggap remeh kerana ia sebenarnya memerlukan tenaga berganda jika dibandingkan dengan kerja teknikal.
“Prosesnya menuntut ‘bacaan’ mental, emosi dan empati sangat dalam,” katanya kepada Sastera &
Budaya di sini, semalam.
Peranakan Cina Kelantan: Sintesis Cina Tanah Besar dan Melayu Tanah Melayu, antara satu daripada judul yang berada dalam pencalonan senarai panjang The Beauty and the Book Award 2017 anjuran pesta buku terbesar dunia, Pesta Buku Frankfurt.
Naskhah itu mendokumenkan survival kelompok masyarakat Cina yang meninggalkan Tanah Besar lebih 300 tahun lalu dan kemudian datang ke Tanah Melayu untuk bermastautin membina hidup baharu di Kelantan.
Peralihan budaya
Proses itu menyebabkan berlakunya penyerapan daripada satu budaya kepada budaya yang lain daripada aspek bahasa, pakaian, makanan dan kediaman yang hampir keseluruhannya menyerupai penduduk tempatan, iaitu orang Melayu.
Zinitulniza bukan sekadar menulis naskhah itu, bahkan bertanggungjawab terhadap keseluruhan aspek penerbitannya termasuk idea, kajian, penulisan, konsep, reka bentuk dan reka letak.
“Bagaimanapun, idea sematamata tidak memberi sebarang makna dan saya bertuah disokong ahli pasukan, termasuk jurufoto, iaitu Datuk Zuhri Iskandar; Mohd Irman Ismail (pembantu jurufoto); Khairani Khairuddin (pengarah seni) dan Hartini Haron (pengarah kreatif).
“Mereka menerima, membaca, dan menterjemahkan idea saya untuk diberikan interpretasi melalui visual muka hadapan buku itu,” katanya.
Zinitulniza berkata, naskhah itu bukan sahaja mendokumenkan perihal Peranakan Cina Kelantan, bahkan mengetengahkan banyak pecahan impak yang seterusnya mewujudkan cabaran besar terhadap proses penyediaan visual muka hadapannya.
Katanya, visual yang dipaparkan perlu memperlihatkan penyatuan dua perkara bertentangan, iaitu antara bangsa Melayu dan Cina yang kemudian bersatu menjadi Peranakan Cina serta penyatuan antara dua generasi tua dan muda yang bersatu memperjuangkan jati diri nenek moyang mereka.
“Kami juga mahu muka hadapan naskhah ini memperlihatkan antara amalan budaya dan tuntutan agama, serta survival untuk mengekalkan jati diri dalam kehidupan yang didominasi masyarakat Melayu
“Pertentangan antara generasi tua dan muda pula digambarkan menerusi watak nenek dan cucu. Si nenek digambarkan berpakaian tradisi wanita Peranakan, manakala cucunya pula berseluar pendek dan kemeja-t sambil bersandar ketika bermain tablet.
“Bukaan pintu utama di ruang tamu itu pula dipilih kerana ia antara subjek sensitif bagi kediaman Peranakan Cina Kelantan kerana pintu itu dalam kebanyakan masa berada dalam keadaan tertutup demi melindungi altar daripada pandangan jiran Melayu bagi menjaga sensitiviti mereka,” katanya.
Mahu cipta sejarah negara
Zinitulniza berkata, berada dalam pencalonan itu sudah memadai tetapi beliau bersama rakan sepasukan dan semua penerbit berharap naskhah itu tercalon ke peringkat akhir, sekali gus mencipta sejarah bagi buku negara untuk diadili di pentas utama arena penerbitan antarabangsa.
“Ia membuka peluang untuk memartabatkan negara kerana buku ini bukan sekadar sebuah buku semata-mata, sebaliknya khazanah yang mendokumenkan budaya serta tamadun negara.
“Naskhah ini juga memperlihat dan membuktikan bagaimana perpaduan bukan satu retorik di negara ini. Orang Cina datang sebagai tetamu dan diraikan Melayu sebagai tuan rumah.
“Ia adalah hasil amalan tolak ansur, hormat-menghormati dan kesediaan berkorban tanpa mengorbankan jati diri, sekali gus menjadi contoh amalan wasatiyah, konsep serta pendirian Malaysia dalam membina keamanan dunia,” katanya.
Tidak adil kerja seni ini dianggap remeh kerana ia sebenarnya memerlukan tenaga berganda jika dibandingkan dengan kerja teknikal. Prosesnya menuntut ‘bacaan’ mental, emosi dan empati sangat dalam” Zinitulniza Abdul Kadir, Penulis