Qatar dakwa tiada jaminan keselamatan jemaah haji
Doha: Pihak berkuasa Qatar, semalam menuduh Arab Saudi menjejaskan jemaah negara itu menunaikan haji kerana enggan menjamin keselamatan mereka.
Arab Saudi dan beberapa negara sekutunya memulaukan Qatar sejak 5 Julai lalu dengan menuduh negara itu menyokong kumpulan pelampau dan bersekutu dengan Iran dalam krisis diplomatik terburuk, sejak bertahun-tahun.
Pada 20 Julai lalu, Riyadh berkata, warga Qatar yang ingin menunaikan haji tahun ini dibenarkan untuk masuk ke negara itu tetapi akan dikenakan syarat.
Kementerian haji Arab Saudi berkata, jemaah Qatar yang tiba dengan kapal terbang perlu menggunakan syarikat penerbangan dengan perjanjian bersama Riyadh.
20,000 rakyat Qatar daftar
Mereka juga perlu mendapatkan visa sebaik tiba di Jeddah atau Madinah iaitu satu-satunya pintu masuk ke negara itu.
Dalam satu kenyataan, kementerian hal ehwal agama Islam Qatar berkata, Arab Saudi enggan memberikan maklum balas mengenai keselamatan jemaah serta memantau urusan ibadat mereka.
Kementerian itu mendakwa Riyadh mencampurkan politik dengan salah satu rukun Islam berkenaan yang mungkin menjejaskan hak umat Islam menunaikan ibadat suci terbabit.
Saudi nafi halang
Kementerian itu turut menafikan tuduhan Arab Saudi bahawa Doha menggantung pendaftaran haji mereka.
Terdahulu, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-jubeir menyifatkan permintaan Qatar untuk mengantarabangsakan ibadat haji tidak ubah seperti pengisytiharan perang terhadap negara itu, lapor televisyen alArabiya.
“Permintaan Qatar untuk mengantarabangsakan dua kota suci ini agak agresif dan seolah-olah pengisytiharan perang terhadap negara ini. Kami berhak bertindak balas terhadap usaha itu,” katanya.