Jun Hao harus bersedia hadapi cabaran ‘Terbuka’: Rashid
Kuala Lumpur: Jangan rasa puas dan cuba rapatkan jurang.
Itu pesanan yang disampaikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996, Rashid Sidek kepada juara baharu remaja Asia, Leong Jun Hao.
Rashid yang pernah meraih gelaran juara remaja Asia pada 1985 dalam acara perseorangan dan beregu lelaki berkata, kejayaan Jun Hao memang nampak gah dari segi nama gelaran itu sendiri namun ia sangat jauh berbeza berbanding kejohanan antarabangsa peringkat senior.
“Kejohanan ‘Terbuka’ tidak mengira usia dan banyak pemain yang jauh lebih berpengalaman, jadi di situ saja dia (Jun Hao) akan merasai halangan lebih sukar. Apa yang perlu dilakukannya adalah mempersiapkan diri dari segi mental, latihan harian dan sentiasa bersedia menghadapi kejohanan,” katanya semalam.
Bekas jurulatih perseorangan lelaki negara itu tidak mahu pemain berusia 18 tahun itu merasakan dirinya sudah cukup bagus dan terbawa-bawa dengan gelaran berkenaan kerana sejarah sebelum ini sudah terbukti bahawa bekas juara remaja Asia tidak ke mana.
Sangat berbeza
“Beraksi di kejohanan untuk kategori umur memang kita boleh menang tapi bermain di saingan antarabangsa sangat berbeza dan dia perlu bersaing dengan ‘abang-abang’ yang lain,” katanya.
Rashid juga tidak mahu Jun Hao mudah berputus asa jika sentiasa tumpas kepada pemain lebih senior tapi cuba untuk terus bersaing sehingga mampu berada pada tahap paling atas.
“Paling penting jangan patah semangat, sentiasa bekerja keras di dalam latihan dan bersaing untuk menjadi pemain yang bagus. Rapatkan jurang dan belajar daripada pemain senior dalam skuad kebangsaan. Pemain senior contoh terbaik sebagai garis panduan.
“Contoh paling dekat dalam skuad kebangsaan ialah Datuk Lee Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin. Saya dulu juga sentiasa belajar untuk memperbaiki permainan sebelum melonjak peringkat demi peringkat bagi mendapat gelaran pemain perseorangan utama negara,” katanya.