Berita Harian

Inisiatif 5 aspek untuk ATM bakal diumum

Bantuan perumahan, perubatan, pendidikan, latihan dan kesihatan lonjak taraf hidup anggota tentera

- Oleh Luqman Arif Abdul Karim

Sejajar komitmen membela kebajikan veteran dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kerajaan akan mengumumka­n beberapa inisiatif baharu yang mencakupi lima aspek.

Pengumuman yang dijangka dibuat dalam tempoh terdekat itu berkaitan perumahan, perubatan, pendidikan, latihan dan kesihatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein, berkata pihaknya dalam fasa akhir penilaian berhubung inisiatif berkenaan yang bakal melonjak sosioekono­mi dan taraf hidup anggota ATM.

“Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam (kelmarin) adalah usaha berterusan kerajaan dan Kementeria­n Pertahanan, malah banyak lagi inisiatif akan diumum dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bantuan RM1,200 kepada veteran

Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumka­n enam inisiatif, termasuk Bantuan Bakti Negara (BBN) yang memberi bantuan RM1,200 kepada veteran, dengan syarat mereka tergolong dalam senarai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Veteran yang tidak disenarai sebagai penerima BR1M pula akan diberi RM600 dengan syarat mereka berumur 60 tahun ke atas.

Inisiatif lain yang diumumkan Perdana Menteri merangkumi pertambaha­n kuota haji kepada 400 kekosongan untuk veteran dan Skim Anuiti Veteran (SAVE) bagi memberi pendapatan secara bulanan seumur hidup kepada bakal veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen.

Perhalusi pelbagai faktor

Hishammudd­in berkata, kerajaan memperhalu­si pelbagai faktor, pandangan dan maklum balas dalam merangka enam inisiatif khas bagi membela kebajikan veteran dan anggota ATM.

Beliau turut menyifatka­n pelaksanaa­n inisiatif berkenaan, termasuk BBN bukan perkara mudah kerana kerajaan perlu mengeluark­an belanja lebih RM85 juta setahun.

“Pengumuman Perdana Menteri banyak menyentuh soal insentif kebajikan kepada golongan veteran tidak berpencen dan veteran kurang upaya.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini, kita perlu memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Golongan tidak berpencen ini amat memerlukan bantuan kerana mereka tidak memiliki pendapatan tetap dan pencen bulanan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia