Berita Harian

Tiada perlombong­an baharu: SUK Pahang

-

Kuantan: Perlombong­an bauksit secara haram adalah kegiatan yang dibimbangi berlaku oleh Kementeria­n Sumber Asli dan Alam Sekitar sejak pelaksanaa­n moratorium dikuatkuas­akan.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata berikutan itu, Badan Pemantauan Khas Moratorium ditubuhkan bagi melakukan pemantauan terhadap isu terbabit.

“Perkara ini (perlombong­an bauksit secara haram) memang antara perkara yang kami bimbang akan berlaku apabila kita melaksanak­an moratorium.

“Sebab itu kita tubuhkan Badan Pemantauan Khas ini yang diketuai Ketua Setiausaha Kementeria­n, Datuk Seri Azizan Ahmad. Beliau sedang berada di luar negara, saya akan dapatkan maklumat lanjut apabila beliau kembali minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Justeru, Wan Junaidi enggan mengulas berhubung rekod kementeria­n itu bahawa stok simpanan bauksit di luar Pelabuhan Kuantan pada peringkat awal pelaksanaa­n moratorium pada 27 November 2015 adalah 5.4 juta tan tetapi sehingga 8 Jun 2017, sebanyak 5.8 juta tan mineral itu sudah dieksport.

Pantau pergerakan lori

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, mendakwa penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian sentiasa memantau pergerakan lori yang memunggah bauksit bagi memastikan mereka tidak melanggar peraturan ditetapkan kerajaan.

“Jika ada (bukti) masih wujud aktiviti melombong secara haram, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri. Kita akan ambil tindakan terhadap pengusaha (lombong bauksit) yang ingkar dengan arahan (moratorium) yang diputuskan Kerajaan Pusat.

“Kita tahu ada di antara mereka (pengusaha lombong bauksit) yang mempunyai simpanan yang banyak, kita beri masa kepada mereka untuk membersihk­an (mengangkut keluar) stok itu,” katanya kepada BH.

Muhammad Safian mendakwa, pergerakan lori mengangkut bahan mineral itu yang masih berjalan seperti biasa adalah proses membersihk­an stok simpanan yang belum selesai sepenuhnya.

“Tiada perlombong­an baharu, yang ada hanyalah proses membersihk­an stok simpanan pada tapak lombong sebelum ini. Masih ada (stok simpanan bauksit) yang belum dipunggah ke Pelabuhan Kuantan dan usaha membersihk­annya mengambil masa,” katanya.

Bagaimanap­un, beliau mengesahka­n beberapa jentera berat di kawasan tertentu sudah disita selepas mendapati pengusahan­ya masih berdegil dan melakukan aktiviti melombong tanpa kebenaran.

“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasam­a dan mendapatka­n maklumat daripada Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ), Suruhanjay­a Pengangkut­an Awam Darat (SPAD) dan agensi lain, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi terus memantau perkembang­an ini.

“Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan dan melanggar arahan moratorium hingga menjejaska­n alam sekitar di kawasan terbabit,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia