Berita Harian

Maklum balas baiki perkhidmat­an awam

Orang ramai diminta muat naik gambar, masalah di MRT, LRT, monorel menerusi talian khas

- Oleh Faris Fuad

Orang ramai boleh berkongsi gambar, pengalaman dan masalah perkhidmat­an Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel menerusi nombor mudah alih khas di +6010 766 4472 diwujudkan Rapid Rail Sdn Bhd.

Maklum balas diuruskan pasukan pusat hubungan Rapid KL itu akan mengambil tindakan mengikut keperluan, sekali gus meningkatk­an sistem penyampaia­n perkhidmat­an dan pengalaman perjalanan penggunany­a.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman, berkata pihaknya menghargai maklum balas pengguna dalam usaha Rapid Rail untuk terus memperbaik­i mutu perkhidmat­annya selain menjaga aset awam berharga yang diamanahka­n kerajaan.

Tindakan susulan

Katanya, sebarang maklumat diterima sama ada baik atau sebaliknya akan dikongsi dengan pihak berkaitan untuk tindakan susulan.

“Laporan aset MRT dirosakkan oleh penumpang tidak bertanggun­gjawab mendapat kecaman orang awam.

“Walaupun kami mempunyai beratus kakitangan keselamata­n yang bertugas dan beribu Kamera Litar Tertutup (CCTV) di dalam kereta api (di bawah perkhidmat­an Rapid Rail), namun kami memerlukan kerjasama pengguna.

Maklumkan vandalisme

“Kami perlukan sokongan mereka untuk memaklumka­n perbuatan vandalisme, tidak senonoh dan salah laku pengguna lain.

“Jika tidak berasa selesa dan selamat untuk berbuat demikian, mereka boleh ambil gambar dan kongsi dengan pihak Rapid Rail,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada 24 Julai lalu, tinjauan BH mendapati, kerosakan pada arca Rukun Negara di Stesen Merdeka disebabkan sikap ibu bapa yang tidak mengawasi anak mereka yang memanjat dinding di kawasan itu.

Di dalam tandas di beberapa stesen MRT pula ada pengguna membuang tisu merata-rata.

Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan menyatakan, padang parkir kenderaan di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, yang dikenali sebagai KL Sports City, ditutup sepanjang Ogos mulai semalam.

Penutupan sehingga 30 Ogos itu adalah atas arahan Perbadanan Stadium Malaysia bagi memberi laluan kepada kerja persiapan terakhir temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan sewaktu temasya sukan berkenaan yang akan bermula pertengaha­n bulan ini.

“Kawasan terbabit adalah Padang Letak Kereta A, B, C, D, E dan F,” kata kenyataan itu.

Perbadanan Stadium Malaysia mencadangk­an kawasan parkir alternatif di Taman Sukan Xtreem Nasional Bukit Jalil yang terletak di belakang Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Pengguna LRT pula boleh meletakkan kenderaan mereka di kemudahan park n ride di stesen lain seperti Awam Besar dan Kompleks Parkir Bertingkat Bandar Tasik Selatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia