Berita Harian

Australia risau gangguan seksual di universiti

-

Sydney: Lebih separuh pelajar universiti di Australia berhadapan gangguan seksual tahun lalu dan tujuh peratus daripadany­a diserang secara seksual sekurang-kurangnya sekali, menurut kajian yang didedahkan, semalam.

Hasil kajian disiarkan dalam laporan Suruhanjay­a Hak Asasi Manusia Australia, dilakukan bagi pihak 39 universiti di negara itu yang menyoal selidik lebih 30,000 pelajar selepas beberapa tahun aktiviti dilakukan kumpulan wanita untuk mengetahui sejauh mana masalah berkenaan.

Wanita berhadapan serangan seksual tiga kali lebih tinggi berbanding lelaki dan hampir dua kali lebih berisiko mengalami gangguan, sama ada di kampus, dalam perjalanan pergi dan balik universiti atau di majlis kampus yang dibenarkan institusi berkenaan.

Berlaku di ruang belajar

“Kesimpulan data yang tidak dapat dielakkan adalah kejadian serangan dan gangguan seksual berlaku pada kadar tidak dapat diterima di universiti Australia.

“Walaupun sesiapa saja boleh mengalamin­ya, jelas daripada data bahawa pelajar wanita berhadapan perkara itu pada kadar lebih tinggi daripada lelaki,” kata Pesuruhjay­a Diskrimina­si Seks, Kate Jenkins.

Katanya, ia menambah bukti jelas yang menonjolka­n kadar gangguan seksual yang mengganggu terhadap wanita di Australia.

Laporan berkata, hampir satu pertiga gangguan berlaku di universiti atau di ruang belajar, manakala satu daripada lima serangan berlaku di universiti atau majlis sosial.

Universiti di Australia, yang menarik lebih sejuta pelajar, amat popular dalam kalangan pelajar antarabang­sa, terutama dari China dan India.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia