Berita Harian

Jun Hao mampu akhiri penantian lima tahun

-

Kuala Lumpur: Penantian pemain negara selama lima tahun untuk muncul sebagai juara remaja dunia dijangka berakhir jika juara remaja Asia, Leong Jun Hao mengikut nasihat idolanya, Datuk Lee Chong Wei menjelang Kejohanan Remaja Dunia 2017 di Yogyakarta, Indonesia, Oktober ini.

Kali terakhir pemain Malaysia muncul sebagai juara remaja dunia menerusi Zulfadli Zulkiffli pada 2011.

Chong Wei memberi kata-kata semangat buat pemain kelahiran Kuala Lumpur itu untuk meneruskan kecemerlan­gan di Kejohanan Remaja Dunia 2017 yang sebelum ini dikuasai secara bersilih-ganti pemain dari China, Korea Selatan, Taiwan dan Jepun.

“Ini satu permulaan bagus buat Jun Hao dan saya harap kejuaraan ini mampu untuk memberikan dia satu keyakinan tinggi dalam setiap kejohanan yang disertai nanti,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Chong Wei yang dalam persiapan ke Kejohanan Dunia di Glasgow pada 21 hingga 27 Ogos ini menasihati Jun Hao agar kekal fokus jika beraksi di kejohanan remaja dunia.

Jun Hao yang mula bermain badminton pada usia lapan tahun mengakui bahawa Chong Wei adalah idolanya dan mahu mengikut jejak langkah bekas pemain nombor satu dunia itu.

Cipta sejarah

Chong Wei dan Jun Hao boleh mencipta sejarah buat sukan badminton negara jika kedua-duanya berjaya meraih gelaran juara dunia dan remaja dunia tahun ini walaupun sedar halangan sukar bakal diberikan oleh pemain dari China.

Jun Hao muncul juara remaja Asia selepas menumpaska­n Bai Yupeng dari China 21-6, 20-22, 21-17, namun ia memberi sedikit kegusaran buat peminat badminton tempatan kerana sejarah sebelum ini membuktika­n bahawa pemain negara mengalami kesukaran apabila memasuki peringkat senior.

Zulfadli dan juara 2013, Soo Teck Zhi dilihat masih bergelut untuk mencipta kejayaan di peringkat senior apabila sering terkandas di pusingan awal ketika menyertai kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas serta Siri Super.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia