Berita Harian

Daya tahan ekonomi Malaysia meningkat

Prestasi pertumbuha­n negara seiring jangkaan ASEAN muncul kuasa ekonomi keenam terbesar

- Oleh Mohd Azrone Sarabatin

Datuk Seri Najib Razak berkata, ASEAN dijangka menjadi kuasa ekonomi keenam terbesar di dunia berdasarka­n anggaran terbaru berbanding ketujuh pada tempoh tahun 1975 dan 2016.

Perdana Menteri berkata, kenaikan kedudukan ini juga menunjukka­n peningkata­n daya tahan ekonomi Malaysia dalam persekitar­an global yang mencabar.

“Ekonomi Malaysia menunjukka­n kekuatanny­a sejak beberapa tahun kebelakang­an ini sehingga mendapat pengiktira­fan Bank Dunia, Tabung Mata Wang Antarabang­sa dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembanguna­n (OECD).

Puji pengurusan ekonomi

“Badan itu memuji pengurusan ekonomi makro dan kejayaan kerajaan dalam mengubah landskap ekonomi menjadi negara yang berdaya saing, proaktif, efektif dan inklusif,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah dan Makan Malam ASEAN@50 anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia (ASEAN-BAC Malaysia) di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Pengerusi ASEANBAC, Tan Sri Dr Munir Majid.

Dalam pada itu, Najib berkata, antara 2009 hingga 2016, Pendapatan Negara Kasar Malaysia meningkat hampir 50 peratus dan 2.26 juta pekerjaan berjaya diwujudkan.

“Inflasi dan penganggur­an Malaysia masih rendah dan kami memperoleh tahap rekod pelaburan langsung asing yang baik walaupun pakatan pembangkan­g terus memfitnah kononnya Malaysia akan muflis,” katanya.

Pada majlis itu, 10 individu dan syarikat cemerlang berpangkal­an di Malaysia, menerima anugerah oleh ASEAN-BAC Malaysia yang disampaika­n Najib.

Anugerah itu adalah pengiktira­fan kepada kejayaan serta peluang ditawarkan oleh gagasan ASEAN. Ia sebahagian aktiviti ASEAN-BAC Malaysia bagi menerajui usaha jalinan ekonomi-sektor swasta bersempena sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN, tahun ini.

Antara penerima ialah Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah yang merangkul Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat menerusi sumbangan serta pencapaian­nya di Malaysia, ASEAN dan kawasan sekitar.

Penerima lain Anugerah Pencapaian ASEAN@50 termasuk Anugerah Jubli Emas kepada YTL Corporatio­n Bhd manakala Pengasas Bersama Fashionval­et, Datin Vivy Yusof pula dinobatkan Usahawan Muda Terbaik.

Inflasi dan penganggur­an Malaysia masih rendah dan kami memperoleh tahap rekod pelaburan langsung asing yang baik walaupun pakatan pembangkan­g terus memfitnah kononnya Malaysia akan muflis” Najib Razak, Perdana Menteri

 ?? [FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI/BH] ?? Najib bersama Rosmah pada majlis Anugerah dan Makan Malam ASEAN@50 yang turut dihadiri Mustapa (belakang dua dari kanan) dan Munir (belakang empat dari kiri) di Kuala Lumpur, malam tadi.
[FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI/BH] Najib bersama Rosmah pada majlis Anugerah dan Makan Malam ASEAN@50 yang turut dihadiri Mustapa (belakang dua dari kanan) dan Munir (belakang empat dari kiri) di Kuala Lumpur, malam tadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia