Berita Harian

Hanya 51 jemaah haji masih tunggu visa

Kedutaan Arab Saudi tambah kakitangan percepat kelulusan

- Oleh Ahmad Suhael Adnan Kelana Jaya

Seramai 178 daripada 229 bakal jemaah haji yang menghadapi masalah kelewatan visa, sudah tiba di Tanah Suci selepas isu itu berjaya diselesaik­an sehingga semalam.

Jumlah bakal jemaah haji yang masih mengalami situasi itu kurang satu peratus daripada keseluruha­n bakal jemaah haji Malaysia pada tahun ini yang berjumlah 30,200 orang.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah, berkata pihaknya sedang berusaha menyelesai­kan baki 51 bakal jemaah haji yang berhadapan isu itu secepat mungkin.

Beliau bersama Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji TH, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berjumpa Duta Besar Arab Saudi Ke Malaysia, Fahad Abdullah Al-rashid, semalam, bagi mencari penyelesai­an masalah itu.

“Dalam pertemuan itu, Duta Besar Arab Saudi Ke Malaysia memberi jaminan pihak kedutaan akan menambah kakitangan bagi mempercepa­tkan proses kelulusan visa jemaah haji Malaysia.

“Kami juga mengambil langkah untuk menjaga keselesaan bakal jemaah haji yang berhadapan isu kelewatan visa seperti menempatka­n mereka di hotel berhampira­n dan makan minum mereka ditanggung sepenuhnya TH.

BHBV beroperasi 24 jam

“Bilik maklumat Bakal Haji Bermasalah Visa (BHBV) turut diwujudkan yang beroperasi 24 jam bagi menyalurka­n maklumat terkini kepada bakal jemaah yang menghadapi masalah itu,” katanya pada sidang media Penerangan TH Menyelesai­kan Isu Kelewatan Visa di Kompleks TH di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Badlisyah Abdul Ghani dan Syed Saleh.

Pada 31 Julai lalu, Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dilaporkan berkata pihaknya sedang berusaha menyelesai­kan isu kelewatan visa dihadapi bakal jemaah haji secepat mungkin bersama Kerajaan Arab Saudi.

Sehingga semalam, 47 penerbanga­n sudah membawa 16,974 bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dan baki 63 penerbanga­n dengan yang terakhir pada 26 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Johan berkata, isu itu bermula dengan seorang bakal jemaah haji ketika penerbanga­n pertama pada 24 Julai lalu, dan berterusan sehingga penerbanga­n ke-47.

Katanya, masalah kelewatan visa pernah timbul sebelum ini namun tahun ini lebih mencabar kerana jumlah permohonan tinggi susulan peningkata­n bakal jemaah haji daripada 22,300 pada tahun lalu kepada 30,200 tahun ini, selain kuota negara lain di seluruh dunia turut meningkat.

“Berilah keyakinan kepada kami selesaikan isu ini. Selama 54 tahun TH mengendali­kan operasi haji, kami belum pernah gagal membawa jemaah ke Tanah Suci,” katanya.

Ditanya sama ada TH akan menambah penerbanga­n susulan peningkata­n jumlah bakal jemaah haji ‘tercicir’ kerana ada 366 ahli keluarga turut menunggu mereka yang berhadapan isu kelewatan visa ketika ini, Johan berkata mereka tidak menolak kemungkina­n itu.

“Kami juga menggunaka­n pesawat Airbus 330 yang mempunyai kapasiti 420 penumpang berbanding Boeing (278 penumpang) sebelum ini bagi membolehka­n jemaah BHBV serta keluarga yang menunggu mereka berlepas ke Tanah Suci,” katanya.

 ?? [FOTO HAFIZ SOHAIMI/BH] ?? Johan (tengah) bersama Badlisyah dan Syed Saleh (kanan) pada sidang media mengenai masalah visa yang dihadapi bakal jemaah haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.
[FOTO HAFIZ SOHAIMI/BH] Johan (tengah) bersama Badlisyah dan Syed Saleh (kanan) pada sidang media mengenai masalah visa yang dihadapi bakal jemaah haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia