Berita Harian

Kerajaan digesa henti AP eksport bauksit

Langkah atasi aktiviti perlombong­an mineral secara haram: GERAM

- Oleh Abdul Razak Raaff dan Amin Ridzuan Ishak

Kerajaan perlu menghentik­an pengeluara­n permit kelulusan (AP) bagi mengekspor­t bauksit, untuk mengatasi aktiviti perlombong­an mineral berkenaan secara haram.

Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (GERAM), Ali Akhbar Othman, berkata perlombong­an haram akan terus berlaku selagi pengusaha lombong boleh mengekspor­t bauksit seperti ke China, kerana ia memberi keuntungan besar.

Katanya, demi mengejar keuntungan, pengusaha akan terus mencari kaedah melombong bauksit walaupun kerajaan menguatkua­sakan moratorium sejak Januari tahun lalu dan dilanjutka­n sehingga Disember ini.

Simpanan tak pernah habis

“Ekoran itu, kita tengok simpanan bauksit tidak pernah habis, ikut laporan media jumlahnya ketika ketika moratorium dilaksanak­an adalah 5.4 juta tan tetapi sehingga sekarang sudah 5.8 juta dieksport, jumlahnya makin bertambah dan sentiasa ada.

“Kita minta kerajaan hentikan terus eksport. Dahulu AP dikeluarka­n supaya simpanan sedia ada dibersihka­n dan tiada lagi kerja perlombong­an tetapi yang berlaku adalah sebaliknya dengan perlombong­an haram terus berlaku,” katanya

Dahulu AP dikeluarka­n supaya simpanan sedia ada dibersihka­n dan tiada lagi kerja perlombong­an tetapi yang berlaku adalah sebaliknya dengan perlombong­an haram terus berlaku” Ali Akhbar Othman, Pengerusi GERAM

ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas pendedahan BH mengenai pelombong mineral di daerah ini kembali melakukan kegiatan itu secara haram secara berselindu­ng di sebalik alasan menghabisk­an stok simpanan walaupun tempoh moratorium masih berkuat kuasa.

SPRM melancarka­n operasi besar-besaran membantera­s kegiatan perlombong­an bauksit secara haram susulan pembongkar­an dibuat BH dan menahan 10 kakitangan kerajaan, termasuk seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana disyaki bersekongk­ol dalam kegiatan perlombong­an bauksit secara haram.

Yang turut ditahan sembilan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang. 10 individu yang ditahan reman berdepan siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Patut ambil serius teguran

Dalam pada itu, Ali Akhbar berkata, semua pihak perlu mengambil serius teguran dan luahan kekecewaan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan tindakan pelombong bauksit haram melanggar moratorium.

“Bukan kali pertama Tuanku menyatakan kekecewaan dan arahan tindakan tegas, dahulu ketika kejadian lemas tiga kanak-kanak selepas mandi di kolam bekas lombong bauksit tetapi ia seolah-olah dipandang sepi.

“Kita minta agensi kerajaan berkaitan supaya ambil pesanan itu dengan serius, sekarang ini semuanya nampak senyap sahaja, banyak kelemahan sebenarnya termasuk dari segi prosedur operasi standard (SOP) yang belum ada,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia