Berita Harian

Amah tempatan dapat gaji RM1,500 sebulan

My Local Maid tawar pekerjaan secara kontrak, manfaat PERKESO

- Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim

Tanggapan kerjaya sebagai pembantu rumah, membosanka­n dan tiada masa hadapan serta terhad peluang bersosial, menyebabka­n ia kurang menarik minat wanita tempatan, khususnya golongan muda.

Namun, dalam ribuan yang menolak kerja itu, masih ada yang sedia melakukann­ya, selagi mampu memberi pulangan lumayan serta manfaat lain.

Umaira Hassan, 30, dari Segambut di sini, sudah lali dengan tanggapan negatif masyarakat sekeliling sejak menceburi kerja itu dua tahun lalu, bersyukur mendapat peluang dalam bidang berkenaan yang ketika ini menawarkan gaji lebih tinggi.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pernah bekerja di kedai makan dan mengambil upah membersih rumah. Saya memperoleh gaji sekitar RM600 sebulan, tetapi selepas ditolak kos minyak motosikal dan makan minum, hendak membantu keluarga pun terpaksa berkira-kira, apatah lagi menabung.

“Kini saya memperoleh pendapatan bersih hampir RM1,500. Makan dan penginapan tidak perlu saya fikirkan kerana ia disediakan dan selesa,” katanya yang mendaftar menyertai program My Local Maid sejak dua bulan yang lalu.

Umaira berkata, ramai yang tidak mengetahui bahawa jika bekerja dengan tekun dan setia, mereka mampu menambat hati majikan, malah memperoleh keuntungan berganda berbanding pekerjaan lain.

Katanya, wanita warga asing yang menguasai kerjaya itu selama ini mampu membina rumah dan menyara keluarga masing-masing di negara asal.

“Untuk apa merasa terhina sedangkan ramai rakan seusia saya hanya duduk di rumah sahaja apabila tidak mahu bekerja di pasar raya dan kedai makan. Kerjaya ini membuka mata saya untuk menyimpan tekad membuka pusat jagaan kanak-kanak suatu hari nanti.

“Saya bukanlah orang senang, hanya tinggal di perumahan setinggan. Namun, hasil wang gaji yang dikumpulka­n setakat ini, saya mampu menyumbang membaiki rumah, membayar tunggakan pinjaman motosikal dan kini mula mengambil lesen kereta,” katanya.

Pengarah Program My Local Maid, Wan Roslan Wan Othman, berkata kesukaran mendapatka­n pembantu rumah dan kerenah mereka selepas diambil bekerja, memberi idea kepadanya untuk menganjurk­an program terbabit bersama beberapa rakan dalam kalangan profesiona­l.

Katanya, menerusi program itu, pihaknya menawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah secara kontrak dengan gaji antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan kepada wanita yang berminat, selain beberapa manfaat seperti penyediaan makan minum dan caruman Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO).

“Atas kesedaran dan tanggungja­wab untuk membantu individu tidak bekerja mendapatka­n pekerjaan, kami juga masuk kampung ke kampung menawarkan peluang kerjaya ini.

Bantu ubah nasib hidup

“Sejak diperkenal­kan Mei lalu, lebih 20 orang sudah mendapat pekerjaan yang membantu mereka mengubah nasib hidup,” katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Beliau berkata, mereka yang tampil menyertai program itu terdiri daripada kalangan lepasan sekolah, selain ada yang tidak pandai membaca tetapi mahu mengubah kehidupan.

“Bagaimanap­un, kami menerima semua golongan wanita berusia di antara 18 hingga 50 tahun, sama ada ibu tunggal, gadis lepasan sekolah, miskin bandar atau luar bandar, gelandanga­n atau orang kelainan upaya (OKU) yang mampu bekerja.

“Kebajikan mereka seperti tempat tinggal, makan minum, cuti, rehat dan waktu untuk beribadat terjamin. Semuanya terkandung dalam perjanjian dipersetuj­ui di antara pihak kami, pekerja dan majikan,” katanya.

Katanya, ketika ini mereka bekerja di rumah majikan di beberapa kawasan seperti di Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.

Wan Roslan berkata, majikan yang sudah mendaftar dengan pihaknya ketika ini terdiri daripada golongan profesiona­l seperti ahli perniagaan, doktor, jurutera, akauntan dan arkitek.

Mereka yang berminat memulakan kerjaya bersama My Local Maid, boleh mendaftar dengan menghubung­i 019-993 3868 sebelum dipanggil untuk sesi temu duga dan pemeriksaa­n perubatan seperti biasa.

 ?? [FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD/BH] ?? Wan Roslan menemu duga calon yang ingin memohon jawatan pembantu rumah.
[FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD/BH] Wan Roslan menemu duga calon yang ingin memohon jawatan pembantu rumah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia