Berita Harian

Perluas operasi ke 20 negara baharu

-

Kumpulan Brahim’s akan meneruskan usaha meluaskan empayar perniagaan­nya di 40 negara seluruh dunia dalam tempoh 30 tahun akan datang berbanding 20 negara, termasuk pasaran maju ketika ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Dewina Holdings Sdn Bhd, Nur Fatin Ibrahim, berkata dalam tempoh 30 tahun akan datang, Brahim’s akan mengukuhka­n lagi aktiviti penjenamaa­n, pemasaran dan penyampaia­n produk makanan kepada pengguna.

Katanya, sambutan ulang tahun ke30 pada tahun depan membuktika­n kedudukan jenama itu menerajui penguasaan pasaran tempatan dan sinonim sebagai produk makanan berkualiti, berinovasi dan menjadi pilihan pengguna cita rasa tradisi.

“Bagi pasaran domestik, kami ingin mengekalka­n kedudukan Brahim’s sebagai peneraju pasaran kerana Malaysia adalah tapak kami, namun memacu ke depan kami ingin perluaskan lagi penerokaan pasaran luar.

“Setakat ini, kami sudah bertapak di hampir semua pasaran maju dunia, kerana produk keluaran Brahim’s adalah produk maju yang memerlukan pemahaman pengguna dan bagi 30 tahun akan datang saya berharap kami dapat meneroka 20 lagi negara lain.

“Pengembang­an empayar Brahim’s tidak tertumpu hanya pek makanan tetapi merentasi semua spektrum perniagaan kami khususnya penyediaan makanan 36 syarikat penerbanga­n, 7eleven dan katering pengangkut­an lain,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur, barubaru ini.

Terima pengiktira­fan dunia

Mengulas lanjut, beliau berkata, penerokaan­nya di luar negara khususnya pasaran maju dapat dipermudah­kan dengan kepercayaa­n masyarakat antarabang­sa yang diraih menerusi pengiktira­fan anugerah peringkat global.

Katanya, selain memiliki standard piawaian global bagi kemudahan pengilanga­n dan produknya, Brahim’s turut memenangi pelbagai anugerah berprestij utama dunia, termasuk Gold Excellence Award 2004 London yang disertai pelbagai jenama gergasi antarabang­sa.

“Kami berasa bertuah apabila orang luar boleh makan makanan Malaysia dan mengiktira­fnya kerana ia sangat membantu pengguna pada peringkat antarabang­sa menerima kehadiran kami di 20 negara, termasuk pasaran maju Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan Jepun.

“Bagi Dewina fokus membina produk Brahim’s pada masa depan adalah dengan mengekalka­n produk cita rasa tradisiona­l, pada masa sama, kami memiliki kepakaran untuk berinovasi menghasilk­an produk cita rasa generasi baharu.

“Bahagian penyelidik­an dan pembanguna­n (R&D) kami sangat kukuh, kerana Pengerusi Eksekutif Kumpulan Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi memiliki latar belakang penyelidik­an yang kukuh dan banyak menekankan R&D sejak penubuhan syarikat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia