Berita Harian

Zambry terus ketuai jentera BN Perak

Misi MB mahu negeri kekal diperintah BN selepas PRU-14

- Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzam­an, Jalal Ali Abdul Rahim dan Shaarani Ismail bhnews@bh.com.my

Pelbagai spekulasi diperkatak­an berhubung kedudukan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selaku Menteri Besar Perak, termasuk beliau dikatakan akan bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Antara kawasan dikaitkan dengannya ialah Parlimen Kuala Kangsar dan Lumut. Selain itu, banyak juga spekulasi siapa pengganti beliau jika Barisan Nasional (BN) kekal memerintah Perak selepas PRU-14.

Semua spekulasi itu bagaimanap­un cakap-cakap kosong berikutan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengarahka­n Zambry terus mengetuai jentera BN negeri pada PRU-14.

Ketika mendedahka­n amanah Perdana Menteri itu dalam temubual khas bersama Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) di sini baru-baru ini, Zambry berkata, misinya kini memastikan Perak kekal dalam tangan BN.

“Mengenai kedudukan saya, jawapan biasa saya adalah serah kepada pucuk pimpinan. Bagaimanap­un, penegasan yang perlu saya sebutkan di sini adalah Presiden parti meminta saya mengetuai persiapan pilihan raya kali ini.

“Jadi faham-faham sahajalah, apa yang berlaku selepas itu tidak perlu saya jawab. Saya faham perasaan dan pandangan yang mahukan saya (ke Pusat), tapi pada masa sama, dalam konteks negeri pun kita perlu beri pertimbang­an.

“Keputusan yang dibuat parti adalah saya meneruskan tugas untuk memimpin (negeri). Tumpuan kami ketika ini adalah memastikan supaya Perak dapat kita pertahanka­n.

Tak perlu buat spekulasi

“Itu misi saya, jadi saya harap semua pihak tak perlu lagi buat spekulasi berkaitan kedudukan saya kerana tumpuan dan keutamaan kita adalah untuk memastikan pilihan raya ini kita (BN) akan menang,” katanya.

Ketokohan Zambry yang juga Pengerusi BN Perak dalam politik dan pentadbira­n, selain pemegang dua ijazah doktor falsafah (PHD), menjadikan pemimpin itu dilihat sangat diperlukan di peringkat Pusat.

Beliau menerajui dan membangunk­an Perak apabila BN mentadbir semula negeri pada 2009, selepas 11 bulan pakatan pembangkan­g membentuk kerajaan negeri sebaik menang PRU-13 pada 2008.

Zambry berkata, semua pihak perlu memahami ada dua institusi penting dalam pelantikan Menteri Besar, iaitu kepemimpin­an tertinggi parti dan Sultan bagi negeri beraja.

Katanya, pelbagai pandangan dan spekulasi termasuk ketika PRU lalu mengenai kedudukann­ya sebagai Menteri Besar serta nama tertentu kononnya bakal pengganti beliau, datang daripada pihak luar termasuk pembangkan­g.

Keputusan yang dibuat parti adalah saya teruskan tugas memimpin (negeri)” Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak

Ikuti Soal Jawab bersama Menteri Besar Perak di Ms 12, 13

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia