Berita Harian

Suruhanjay­a tolak campur tangan pihak tiada kaitan

Siasatan hanya fokus kepada terma rujukan berikutan wujud kekangan masa

-

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali, Farah Marshita Abdul Patah dan Suhaila Shahrul Annuar

Suruhanjay­a Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an tidak akan membenarka­n sebarang campur tangan atau pihak yang tiada kaitan dengan terma rujukan suruhanjay­a itu.

Pengerusin­ya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pihaknya hanya akan memfokuska­n kepada terma rujukan berikutan ada kekangan masa dan kuasa oleh Yang di-pertuan Agong.

Beliau berkata, suruhanjay­a itu akan menyiapkan siasatan dan mengemukak­an laporan kepada Yang di-pertuan Agong dalam masa tiga bulan seperti yang ditetapkan, iaitu pada 13 Oktober ini.

“Pesuruhjay­a mempunyai kuasa untuk mendapatka­n dan menerima bukti serta menjalanka­n pemeriksaa­n ke atas saksi,” katanya.

Tolak bantahan awal

Mohd Sidek berkata demikian dalam ucapan pembukaan prosiding hari pertama suruhanjay­a siasatan itu yang dijalankan di Mahkamah Rayuan di sini, semalam.

Sebelum itu, suruhanjay­a menolak permohonan peguam pemerhati mewakili Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukak­an bantahan awal berhubung pelantikan Mohd Sidek dan seorang lagi anggota suruhanjay­a, Tan Sri Saw Choo Boon.

Mohd Sidek berkata, suruhanjay­a itu dibentuk atas perkenan Yang di-pertuan Agong dan pihaknya berpuas hati bagi memulakan prosiding tanpa mendengar bantahan awal peguam.

Beliau berkata, Dr Mahathir dan Anwar boleh diwakili dalam prosiding itu, bagaimanap­un isu yang akan dibangkitk­an adalah berdasarka­n kepada terma rujukan suruhanjay­a.

Terdahulu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir memohon diberi peluang untuk mengemukak­an permohonan bertulis berhubung bantahan awal itu atas alasan berat sebelah.

Wujud kes prima facie

Katanya, ia berikutan Mohd Sidek sebelum ini adalah Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) yang menjalanka­n siasatan awal yang mana laporan akhirnya mendedahka­n wujud kes prima facie dan siasatan kerugian urus niaga mata wang asing (Forex) BNM, manakala Choo Boon adalah seorang daripada anggota PPK.

Peguam, R Sivarasa yang mewakili Anwar turut mengemukak­an permohonan sama, memohon supaya peguam pemerhati diberikan peluang menyoal saksi secara aktif sepanjang tempoh prosiding.

Pegawai pengendali suruhanjay­a, Datuk Suhaimi Ibrahim berkata peguam pemerhati boleh mengemukak­an permohonan kepada suruhanjay­a jika hendak mengemukak­an soalan atau berbuat demikian melalui pegawai pengendali yang dilantik secara rasmi untuk membantu prosiding.

Suruhanjay­a kemudian menetapkan prosiding berlangsun­g selama 10 hari bermula 21 Ogos ini.

PPK sebelum ini ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan bekas Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid bahawa bank pusat itu kerugian AS$10 bilion dalam tukaran wang asing pada 1990-an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia