Berita Harian

Penuntut UMS lemas terperangk­ap bawah bot

Seramai 15 penumpang terhumban ke laut dalam kejadian di muara Kuala Besut

- Oleh Fitri Nizam dan Mohammad Ishak bhkt@bh.com.my

Penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang lemas dalam kejadian bot terbalik di muara Kuala Besut di sini semalam, maut akibat terperangk­ap lebih 20 minit di bawah bot sebelum disedari rakan dan nelayan yang menyelamat­kan mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nurnasibah Husna Ibrahim, 21, dari Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh, Kelantan, ditemui sudah tidak bernyawa walaupun memakai jaket keselamata­n.

Ketua Polis Daerah Besut, Superinten­dan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata berdasarka­n keterangan rakan mangsa, sebaik bot dinaiki 15 penumpang itu terbalik, mereka dikatakan terhumban ke laut, manakala Nurnasibah terperangk­ap di bawah bot.

14 penumpang selamat

Katanya, 14 penumpang berjaya diselamatk­an oleh nelayan dan bot pelancong yang berada berhampira­n lokasi dan dibawa ke Jeti Kuala Besut, namun sebaik tiba di jeti, mangsa lain menyedari Nur Nasibah tiada.

“Kumpulan nelayan dan pemandu bot pelancong lain segera ke lokasi untuk selamatkan mangsa, namun sebaik bot diangkat, Nurnasibah sudah tidak bernyawa dipercayai lemas akibat kekurangan udara,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Insiden turut menyebabka­n sembilan mangsa cedera dan dihantar ke Klinik Kesihatan Kuala Besut serta Hospital Besut untuk rawatan.

Mohd Zamri berkata, berdasarka­n siasatan awal, kejadian kirakira lima kilometer dari Jeti Pelanconga­n Kuala Besut itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal yang dihadapi bot terbabit sebelum ia berpusing dan terbalik.

“Sebaik terima maklumat, polis ambil keterangan pemandu bot dan penumpang yang terselamat yang semuanya memakai jaket keselamata­n ketika kejadian. Berdasarka­n siasatan, ini kemalangan dan bukannya kecuaian. Jadi tiada tangkapan dibuat,” katanya.

60 penuntut ikut rombongan

Umi Nor Ansha Noordin, 23, ketika ditemui di Hospital Besut, berkata mereka menyertai rombongan 60 penuntut pelbagai universiti tempatan menghadiri Himpunan Anak-anak Kelantan di Pusat Pelanconga­n Pulau Perhentian, kelmarin.

“Kira-kira jam 11.30 pagi tadi (semalam), kami bertolak pulang dari Pulau Perhentian dengan beberapa bot, tapi bot saya tiba-tiba terbalik hingga semua terhumban ke laut. Ketika itu tiada ombak besar, tetapi bot berputar beberapa kali sebelum terbalik,” katanya.

 ??  ?? Penumpang bot pelancong yang selamat menunggu dibawa ke hospital apabila bot yang dinaiki terbalik di muara Kuala Besut, semalam.
Penumpang bot pelancong yang selamat menunggu dibawa ke hospital apabila bot yang dinaiki terbalik di muara Kuala Besut, semalam.
 ??  ?? Bot pelancong yang terbalik dekat muara Kuala Besut, semalam.
Bot pelancong yang terbalik dekat muara Kuala Besut, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia