Berita Harian

‘Teliti tarikh baharu pengasasan Kesultanan Melayu Melaka’

Penemuan lima tahun lalu belum masuk dalam silibus, teks

- Oleh Siti Haliza Yusop

Di sebalik penemuan terbaru tahun pengasasan kerajaan Melaka pada 1262 yang menggantik­an fakta sebelumnya, iaitu 1400, ia belum dimasukkan ke dalam silibus pengkajian sejarah tanah air.

Pensyarah Jabatan Sejarah dan Kemasyarak­atan, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, berkata usaha memasukkan penemuan terbaru itu ke dalam silibus membabitka­n aspek lain yang perlu diteliti pihak berwajib.

“Setakat ini, tarikh pengasasan Melaka pada 1262 itu sudah diiktiraf Kerajaan Melaka dan sebagai pengkaji kami hanya melakukan kajian saja kerana isu dimasukkan ke dalam buku teks adalah isu lain,” katanya pada Simposium Polemik Sejarah Malaysia di Arkib Negara Malaysia di sini.

Abdullah Zakaria berkata, di kalangan pengkaji sendiri masih terdapat perbezaan pendapat termasuk sebahagian sarjana yang melihat Sulalatus Salatin ditulis Tun Seri Lanang sebagai naskhah dongeng.

Naskhah banyak versi

“Bukan mudah menghilang­kan aliran pemikiran itu yang sampai kini masih dipegang sarjana tertentu.

“Perihal naskhah itu memiliki banyak versi atau tidak bukan isunya, tetapi lebih penting lagi, itulah sumber yang dipakai.

“Ia perlu diambil perhatian kerana ditulis pribumi dan bukannya orang Eropah,” katanya.

Pada 2010, Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka mendedahka­n tarikh baharu itu, sekali gus menolak pandangan penulis Portugis, Tom Pires yang meletakkan tarikh Kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada sekitar 1399 dan 1400 yang dipegang dalam teks sejarah kita.

Kumpulan penyelidik yang diketuai Abdullah Zakaria Ghazali ketika itu, sebulat suara bersetuju tarikh yang tepat adalah berdasarka­n kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu dengan Sultan Iskandar Syah sebagai pemerintah pertama.

Abdullah Zakaria berkata, manuskrip itu menjelaska­n tempoh pemerintah­an Raja Melaka daripada zaman pemerintah­an Raja Iskandar sehinggala­h kepada Sultan Mahmud dan untuk mendapatka­n tarikh 1262, tarikh bulan yang digunakan mesti ditukar kepada tarikh matahari.

“Sejak penemuan tarikh kedua itu beberapa tahun lalu, wujud persimpang­an dalam sejarah Malaysia berkaitan tahun sebenar Melaka diasaskan tetapi selagi ilmu itu berkembang, isu polemik tidak dapat dielakkan.

“Dari satu sudut, saya melihat isu polemik ini sebagai sesuatu yang baik, terutama apabila ia dapat menggalakk­an lagi pengkajian dalam kalangan sejarawan dan penyelidik di negara ini,” katanya.

 ?? KHAIRUL AZHAR AHMAD ?? Abdullah Zakaria pada Simposium Polemik Sejarah Malaysia, di Arkib Negara Malaysia.
KHAIRUL AZHAR AHMAD Abdullah Zakaria pada Simposium Polemik Sejarah Malaysia, di Arkib Negara Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia