Berita Harian

‘Andai masih bernafas, Tun Razak pasti kecewa’

Sultan Nazrin ajak rakyat hayati semangat pengorbana­n, wawasan bekas PM bentuk perpaduan kaum

- Oleh Rohaniza Idris

“Andai masih bernafas, Tun Abdul Razak pastinya akan kecewa dan ralat melihat empat senario yang sedang berlaku di dalam negara.”

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah demikian menerusi pengamatan baginda terhadap perkembang­an semasa tanah air.

Baginda bertitah, senario pertama merujuk kepada perpaduan warga yang mana Abdul Razak menyatakan masa depan negara bergantung kepada perpaduan rakyat.

Namun kini, titah Sultan Nazrin, dalam keghairaha­n mahu mendapat sokongan, parti politik kelihatan semakin cenderung memilih untuk menyalakan bara sensasi isu agama dan perkauman.

Peranan penting sekolah

Sultan Perak bertitah, Abdul Razak turut menggarisk­an peranan penting sekolah dalam memupuk perpaduan rakyat melalui aliran pengajian kebangsaan menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan yang terkandung dalam Penyata Razak.

“Pelaksanaa­n Dasar Pelajaran Kebangsaan kini dilihat semakin gagal memenuhi matlamat untuk sekolah berperanan sebagai taman asuhan menyatupad­ukan warganya.

“Generasi muda pelbagai kaum yang melalui pelbagai aliran persekolah­an, tidak akan berpeluang berinterak­si dan saling mengenali, sebaliknya membesar secara berasingan dalam kelompok kaum masing-masing,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika melancarka­n buku Fulfilling A Legacy - Tun Razak Foundation terbitan Yayasan Tun Razak (YTR) hasil tulisan Shahreen Kamaluddin di sini, semalam.

Majlis turut dihadiri Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; balu Abdul Razak, Tun Rahah Mohd Noah; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YTR, Tun Hanif Omar dan Canselor Universiti Tun Abdul Razak, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Ketirisan pegangan ekonomi Bumiputera

Sultan Nazrin bertitah, senario ketiga akan dikesali Abdul Razak ialah pelbagai gelinciran daripada landasan sebenar pelaksanaa­n Dasar Ekonomi Baru (DEB), terutama penyalahgu­naan peluang pembahagia­n kekayaan.

Titah baginda, ia mengakibat­kan ketirisan pegangan ekonomi Bumiputera secara besar-besaran yang bukan sahaja mencetuska­n salah faham Bumiputera yang menganggap­nya pilih kasih, malah juga kemarahan kalangan bukan Bumiputera.

“Keempat, berkaitan rasuah dan integriti. Hati Tun Abdul Razak pasti luluh mengikuti pendedahan demi pendedahan, tangkapan demi tangkapan kerana rasuah secara besar-besaran, membabitka­n penjawat tinggi dan individu terpelajar dengan jumlah yang banyak serta mencalar nama baik negara bangsa,” titah baginda.

Sultan Perak mengajak rakyat menghayati wawasan dan semangat pengorbana­n Abdul Razak serta berdoa supaya wawasan dan semangat pengorbana­n bekas Perdana Menteri itu tidak akan padam dari minda dan hati rakyat.

 ?? [FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN/BH] ?? Sultan Nazrin melancarka­n buku Fulfilling A Legacy - Tun Razak Foundation sambil diperhatik­an Hanif dan Shahreen di Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN/BH] Sultan Nazrin melancarka­n buku Fulfilling A Legacy - Tun Razak Foundation sambil diperhatik­an Hanif dan Shahreen di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia