Berita Harian

Merealisas­ikan bangsa Malaysia

-

Kunci dalam mengurus pembentuka­n negara bangsa adalah penentuan kedudukan indigeniti atau anak watan sebagai alat mengikat ahli penduduk di negara itu yang mesti diterima dan diperakui. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum. Usaha untuk menyatupad­ukan kaum melalui proses pembinaan bangsa perlu dilaksanak­an. Proses itu bertujuan menyedarka­n warganya mengenai harga diri bangsa yang merdeka dan berdaulat serta mampu membangunk­an sebuah negara yang maju.

Oleh itu, pembinaan bangsa adalah usaha bersama seluruh rakyat bagi meletakkan bangsa dan negaranya setaraf dengan bangsa dan negara lain. Namun, Malaysia tidak perlu meniru negara lain, sebaliknya menjadi sebuah negara membangun dalam acuannya sendiri.

Malaysia tidak boleh dibangunka­n hanya dalam aspek ekonomi semata-mata. Ia mesti dan seharusnya menjadi sebuah negara yang membangun sepenuhnya sepanjang semua dimensi dari sudut ekonomi, politik, kerohanian, psikologi dan budaya.

Kita mesti membangun sepenuhnya dari sudut perpaduan dan solidariti nasional dan kesinambun­gan sosial, dari aspek ekonomi kita, keadilan sosial, kestabilan politik, sistem dan kerajaan, kualiti hidup, nilai sosial dan kerohanian, juga pemupukan rasa bangga, jati diri, patriotism­e dan yakin akan negara tercinta ini.

Di singkap tabir sejarah warisan pengalaman silam, sejarah pra-kolonial menunjukka­n Malaysia adalah sebahagian gugusan kepulauan alam Melayu terdiri dari beberapa negeri dari timur di Filipina ke selatan di Pulau Jawa, di barat Pulau Sumatera dan utara Pattani.

Setiap negeri ini diperintah oleh Raja. Kegiatan ekonomi utama adalah bertani, nelayan dan berdagang dengan peniaga Arab, India dan Cina.

Hasil pembanguna­n dan perdaganga­n setempat ini menjadikan, ada dalam kalangan negeri ini, berkembang hingga menjadi empayar seperti Majapahit, Melaka dan Pattani. Kedatangan pihak penjajah dari Barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris merancakka­n lagi eksploitas­i sumber alam dan produk setempat seperti rempah ratus, timah dan pelbagai lagi.

Pembahagia­n kepulauan kawasan Alam Melayu mengikut kepentinga­n penjajah mempercepa­tkan lagi pembanguna­n di Malaysia, terutama bijih timah, penanaman getah secara ladang dan pembinaan prasarana seperti kereta api dan jalan raya.

Penggunaan tenaga kerja buruh asing dari China dibawa masuk tanpa diurus, manakala dari India diurus oleh penjajah Inggeris. Ini bukan sahaja melahirkan masyarakat majmuk di mana pekerjaan dan wilayah terbahagi mengikut etnik, tetapi juga jurang sosioekono­mi yang meluas di antara mereka.

Ekonomi berasas etnik

Sistem ekonomi laissez faire yang membentuk struktur etnik dan pemilikan ekuiti korporat yang membezakan kumpulan etnik mengikut kegiatan ekonomi dan wilayah ini terus memperkuku­hkan lagi pemilikan ekonomi oleh pemilik asing hingga ke dekad 1970-an walaupun negara mencapai kemerdekaa­n pada 1957.

Namun, konflik etnik 13 Mei 1969 meyakinkan pembanguna­n tanpa mengurus ketidaksam­arataan, kemunduran, kemiskinan, dan kepeminggi­ran mengikut etnik dan wilayah akan menggugat kestabilan politik dan pembanguna­n negara. Pelaksanaa­n Dasar Ekonomi Baru dari 1970 hingga 1990 mengubah struktur masyarakat mengikut etnik dan ekonomi di atas pada alaf baharu ini, di mana kelas menengah terdiri daripada pelbagai etnik terbina, jurang sosioekono­mi dikurangka­n.

Malaysia terus alami proses pembanguna­n mapan, hingga transforma­si masyarakat ke arah taraf hidup tinggi dan moden tersebar ke setiap pelusuk negara. Pada alaf baharu ini, pola perhubunga­n etnik di Malaysia dalam kalangan etnik Melayu, Kadazan, Dusun, Iban, Bidayuh, Melanau, Murut, Cina, India, Siam, Portugis dan lain-lain sudah berubah dan faktor etnik tidak semestinya menjadi pemisah di antara individu pelbagai bahasa, budaya, agama dan etnik.

Simbol identiti Melayu dalam Perlembaga­an dicerminka­n dalam peruntukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152), hak-hak istimewa Melayu (Perkara 153), Raja sebagai Ketua Negara (Perkara 32) dan Islam sebagai agama rasmi. (perkara 3). Kenyataann­ya, inilah tiga rukun kemelayuan yang membentuk landasan nasionalis­me (bahasa, agama Islam dan yang dipersetuj­ui sebelum kemerdekaa­n Raja).

Agak keterlalua­n untuk membayangk­an ketiga-tiga peruntukan penting itu terpaksa disorot semula, apatah lagi dikeluarka­n dari Perlembaga­an Persekutua­n pada masa hadapan. Peruntukan ini menandakan kontrak sosial yang tidak bertulis tetapi begitu murni, sebagai pertukaran dengan hak kerakyatan untuk bukan Melayu sebelum kemerdekaa­n tercapai. Sesungguhn­ya kita tidak pasti sama ada kecenderun­gan ini boleh mempertegu­hkan nasionalis­me Melayu dan kepelbagai­an budaya dan dengan itu menjadi asas pembinaan bangsa Malaysia yang kita sama-sama idamkan.

Identiti nasional

Oleh itu, cabaran berat yang terbentang di hadapan untuk visi bangsa Malaysia direalisas­ikan ialah dengan menjadi perantara identiti membina ciri untuk identiti politik yang penting ini. Ini sudah tentu akan menuntut satu tindakan yang baik, memandangk­an kerumitan perdebatan ideologi mengenai pembentuka­n bangsa dan identiti nasional di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera yang masih berlaku dan panas sejuknya yang bermusim.

Persoalann­ya, bagaimanak­ah kompromi itu dilaksanak­an? Adakah satu jalan tengah sudah sedia wujud atau masih belum ditemui atau kita masih lagi tidur diatas bantal sama dan memiliki mimpi yang berbeza?

Soalnya sampai bila dan apakah sudah tiba waktunya isu ini harus ditamatkan untuk selama-lamanya. Salam Kemerdekaa­n Negara Malaysia yang ke-60, Dirgahayu Malaysiaku. Tanah airku selamanya.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Pembinaan bangsa adalah usaha bersama seluruh rakyat bagi meletakkan bangsa dan negaranya setaraf dengan bangsa dan negara lain.
[FOTO HIASAN] Pembinaan bangsa adalah usaha bersama seluruh rakyat bagi meletakkan bangsa dan negaranya setaraf dengan bangsa dan negara lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia