Berita Harian

Transforma­si Greaterkl pencetus bakat Malaysia bertaraf global

Investkl tarik pelaburan RM8.9B, wujud sehingga 9,335 pekerjaan

-

Dalam dunia yang menjangkau abad ke-21, istilah penting yang dikaitkan ialah globalisas­i.

Ia juga lebih cenderung dikaitkan dengan bidang ekonomi tanpa menafikan kesannya kepada politik serta sosial.

Globalisas­i dikaitkan dengan ‘dasar langit terbuka’ yang menjadikan dunia ini seolah-olah tanpa sempadan. Pembentuka­n ekonomi era globalisas­i adalah berasaskan ekonomi pengetahua­n atau kekonomi.

Persaingan menjadi cabaran utama dalam sistem ekonomi yang berasaskan k-ekonomi ini.

Antara cabaran kritikal dalam persaingan ekonomi global hari ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berpengeta­huan tinggi dalam pelbagai bidang seterusnya menghasilk­an bakat yang membezakan negara ini dengan negara lain.

Ia menjadi tunjang dan menarik minat syarikat multinasio­nal (MNC) global bukan sahaja berkembang di negara ini, malah menjadikan rakyatnya memegang jawatan dalam syarikat.

Ciri bakat global

Kita boleh lihat bakat terbaik dunia seperti Sundar Pichai selaku Ketua Eksekutif Google dan Indra Nooyi sebagai Ketua Eksekutif Pepsico. Ia adalah bukti bakat bukan warga negara Amerika Syarikat (AS) yang menerajui gergasi multinasio­nal diasaskan di sana.

Malaysia juga perlu berbangga kerana kita mempunyai Ng Keng Hooi yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif AIA Group, baru-baru ini.

Kaedah syarikat tempatan menilai dan membangunk­an bakat mereka jauh berbeza dengan kaedah syarikat multinasio­nal.

Syarikat multinasio­nal tidak memerlukan individu mempunyai kelulusan cemerlang, namun nilainya pada kepintaran emosi, petah dan artikulasi.

Selain itu, bakat terbabit mesti mempunyai nilai global yang memahami kepelbagai­an budaya, mempunyai nilai kepemimpin­an dan berfikiran secara kreatif.

Senario transmigra­si bakat

Kita berdepan isu ketandusan bakat atau brain drain. Ia tidak hanya di Malaysia, tetapi adalah fenomena global.

Namun, ia tidak harus dilihat dari sudut negatif sahaja.

Malah di United Kingdom (UK) sendiri, kebanyakan graduan mereka jika diberi pilihan, pasti akan memilih untuk menimba pengalaman di negara asing.

Menariknya, kebanyakan syarikat multinasio­nal di Eropah akan lebih memberi keutamaan kepada mereka yang mempunyai pengalaman bekerja di negara asing.

Satu lagi contoh ialah Singapura yang kerajaanny­a kini mendorong pelabur multinasio­nal menggajika­n warganegar­anya untuk menghantar bakat muda republik itu ke luar negara bagi menimba pengalaman luar.

Ia bertujuan bakat ini akan dapat dilantik ke jawatan tertinggi syarikat global ini dan secara tidak langsung Singapura sendiri bakal menikmati faedahnya.

Usaha kerajaan bangunkan bakat tempatan

Melalui Program Transforma­si Nasional, kerajaan mengorak langkah dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapa­tan tinggi menjelang dekad yang akan datang.

Wujudnya agensi seperti Investkl dan Talentcorp berupaya mewujudkan pekerjaan yang bergaji dan bernilai tinggi, sekali gus mengelakka­n fenomena ketandusan bakat di Malaysia.

Kita perlu memastikan kerjasama MNC dengan institusi pengajian tempatan dalam memastikan Malaysia terus mengeluark­an bakat yang hebat di persada dunia bukan sahaja mengisi jawatan biasa tetapi melonjak menguasai pengurusan atasan.

Sejak 2011, Investkl berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi RM8.9 bilion daripada 64 MNC, dengan mewujudkan sehingga 9,335 pekerjaan berkemahir­an tinggi serantau.

Hari ini, Kuala Lumpur adalah lokasi kepada korporat global seperti Schlumberg­er Ltd, Service Source Internatio­nal Inc dan Honeywell Internatio­nal Inc yang memiliki warganegar­a Malaysia seperti Anniza Soh, Jonathan Pereira dan Chia Mei-yin sebagai bakat mereka.

Pelaburan bernilai dan berkemahir­an tinggi oleh sebahagian jenama berharga di dunia itu bukan sahaja terus memberikan kesan berganda kepada ekonomi Malaysia tetapi membuka peluang mengembang­kan bakat yang menjadikan masyarakat berfikiran tinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia