Berita Harian

Pengurusan perlu patuhi ciri keselamata­n bangunan

-

Bukan kali pertama, malah sekurang-kurangnya lebih 30 kes kebakaran berlaku di pusat tahfiz atau sekolah pondok sejak 10 tahun lalu.

Yang terbesar ialah tragedi 22 September 1989 meragut nyawa 27 pelajar Madrasah Taufiqiah al-khairiah atau ‘pondok Pak Ya’ di Guar Chempedak, Kedah. Selepas kejadian di Guar Chempedak itu, kerajaan tubuh suruhanjay­a untuk menyiasat, dan mengesan masalah utama iaitu pembinaan sekolah tahfiz dan pondok tidak mematuhi Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Pindaan 2007) di setiap negeri. Antara isu keselamata­n menonjol adalah pembinaan bangunan ‘ala kadar’ seperti struktur kayu tidak sesuai; penyambung­an bangunan secara tidak sah; pembinaan atas tanah tidak sesuai; pendawaian usang; mengubah suai rumah; madrasah atau rumah kedai dan menggunaka­n khidmat kontraktor tidak bertauliah. Namun, di sebalik hasil siasatan dan syor dikemukaka­n suruhanjay­a, kejadian sama berulang dengan puncanya masih berkisar kepada ciri keselamata­n. Terbaharu semalam, tragedi meragut 23 nyawa didapati juga berkaitan ciri-ciri keselamata­n iaitu pemasangan jeriji tingkap di tingkat tiga, laluan terhalang dan susunan katil yang menyukarka­n mangsa menyelamat­kan diri. Itu antara hasil siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat. Amat jelas di sini, kejadian yang berlaku di Kedah pada 1989, masih tidak dijadikan iktibar pengurusan sekolah pondok dan maahad tahfiz negara ini, berhubung aspek ancaman bencana. Ini tidak akan berlaku, andai syor suruhanjay­a itu dipraktik, dikuat kuasa dan dipantau. Di manakah pihak pelaksana dan penguatkua­saan? Kalau Pusat Tahfiz Darul Quran itu tidak mendapat kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjalanka­n aktiviti pengajian tahfiz di premis berkenaan, mengapa tidak diambil tindakan lebih awal, mengapa tidak ada pemeriksaa­n di premis seperti pembinaan rumah atau bangunan komersial yang memerlukan sijil kelayakan menduduki (CF)? Berapa banyak sekolah pondok dan tahfiz memiliki Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada Bomba dan Penyelamat Malaysia? Kita tidak tahu jumlah sebenar sekolah pondok di seluruh negara tetapi dipercayai lebih 200, manakala pusat tahfiz dipercayai lebih banyak jumlahnya yang ‘tumbuh bagai cendawan’ di merata tempat. Kita puji langkah pengurusan pusat tahfiz yang menawarkan pendidikan kepada pelajar, terutama keluarga kurang berkemampu­an tetapi ada juga yang berbuat demikian bagi tujuan perniagaan. Tiada lagi kawalan. Sesuatu harus dilakukan termasuk menyelaras­kan aspek keselamata­n maahad tahfiz di seluruh negara dan mewajibkan patuhi ciri keselamata­n. Jika tidak, selagi itulah pelajar di sekolah pondok dan tahfiz berdepan risiko keselamata­n. Kita tidak mahu lagi dengar pelbagai alasan, tuduh menuduh selepas berlaku sesuatu yang meragut nyawa pelajar atau mahu siasat itu dan ini. Laksana dan patuhi syor hasil siasatan suruhanjay­a sebelum ini. Itu sahaja.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia