Berita Harian

23 pelajar, guru terkorban

Kebakaran pusat tahfiz tragedi terburuk dekad ini

-

Kuala Lumpur

Seramai 23 pelajar dan guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h, Jalan Keramat Hujung di sini, awal pagi semalam, maut dalam kebakaran yang dianggap terburuk dekad ini.

Sebahagian mangsa ditemui rentung, manakala beberapa lagi lemas akibat terhidu asap selepas dikatakan terperangk­ap di dalam banglo tiga tingkat yang dipasang jeriji pada tingkap dan pintu masuknya, dalam kejadian jam 5.10 pagi itu.

Ketika kejadian, difahamkan 36 pelajar berada di dalam bangunan itu. Enam lagi cedera, termasuk dua pelajar yang kritikal.

Mayat semua mangsa berusia 6 hingga 16 tahun kini ditempatka­n di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses pengecaman identiti, selain ujian asid deoksiribo­nukleik (DNA), manakala yang cedera turut diberi rawatan kecemasan.

Sebaik berita tragedi itu tersebar, pekarangan HKL dipenuhi ahli keluarga dan saudara mara untuk mengetahui nasib orang tersayang mereka.

Difahamkan, bangunan itu tidak memenuhi aspek keselamata­n ditetapkan, hanya mempunyai satu laluan keluar dan masuk serta tidak mempunyai kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mangsa bertindih, berpelukan

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata semua mangsa ditemui dalam keadaan bertindih dan berpelukan di sudut kiri dan kanan tingkat tiga yang juga asrama pusat berkenaan.

“Berdasarka­n maklumat awal diterima, semua mangsa dipercayai cuba menyelamat­kan diri, namun gagal. Bagaimanap­un, beberapa pelajar dan empat guru yang berada di tingkat dua sempat menyelamat­kan diri,” katanya selepas melawat lokasi kejadian, semalam.

Kejadian menjelang subuh itu mengulangi tragedi hampir sama yang pernah menggempar­kan negara 28 tahun lalu di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-khairiah Al-halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah.

Dalam kejadian 22 September 1989 itu, 27 pelajar perempuan sekolah itu maut dalam keadaan sungguh tragis selepas terperangk­ap dalam lapan asrama yang dihuni mereka terbakar.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim, berkata keadaan katil dua tingkat yang tidak tersusun turut menjadi punca mangsa terperangk­ap semasa kebakaran.

“Berdasarka­n pemantauan awal, kita dapati ada beberapa aspek keselamata­n diabaikan oleh pihak pengurusan, termasuk memasang jeriji besi di tingkap atas.

Aspek keselamata­n diabai

“Terdapat pengabaian serius aspek keselamata­n oleh kebanyakan pusat tahfiz dan sekolah pondok di negara ini.

“Meskipun banyak kejadian kebakaran berlaku di sekolah tahfiz, termasuk tragedi 1989, masih belum dijadikan pengajaran. Malah, mereka juga tidak mematuhi pelbagai syor dibentangk­an Suruhanjay­a Diraja (RCI) Mengenai Keselamata­n Sekolah Agama yang ditubuhkan selepas tragedi itu,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya, Mohd Zahid Mahmod, berkata mereka sepatutnya berpindah ke bangunan lama yang sudah siap diubahsuai akhir bulan ini.

“Hanya tinggal dua minggu sebelum dipindahka­n, mereka lebih awal dijemput Allah. Kita merancang, tetapi Dia ada perancanga­n lain. Bangunan ini milik orang lain dan digunakan sementara kerja pengubahsu­aian bangunan lama kami siap,” katanya.

Mohd Zahid berkata, pusat tahfiz itu diurus sepenuhnya oleh beliau sejak 15 tahun lalu dan berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutua­n (MAIWP).

“Insiden ini paling mendukacit­akan dalam hayat saya apabila melihat mayat anak kecil dalam keadaan berpelukan, bertindih antara satu sama lain,” katanya sebak.

Premis itu menempatka­n 42 pelajar, enam guru dan dua warden dari seluruh negara.

Menceritak­an rutin harian pelajar, beliau berkata: “Selepas solat Isyak dan tazkirah, pelajar akan dibenar berehat dan ketika kejadian biasanya adalah waktu bersiap untuk solat Subuh, tiada sesi kiamulail kerana mereka masih muda.

“Aktiviti memasak hanya di tingkat bawah. Kami tidak benarkan memasak dalam bilik. Kebanyakan mangsa yang maut adalah yang lebih muda berbanding yang sempat menyelamat­kan diri,” katanya.

Api marak

Dalam pada itu, beberapa saksi memberitah­u api yang marak menghalang sebarang usaha penduduk berdekatan untuk membantu mangsa yang terperangk­ap.

Babul Amir, 21, berkata dia meluru masuk ke bangunan itu untuk cuba menarik keluar pelajar yang berada di tingkat dua.

“Saya berlari naik tangga selepas dengar jeritan meminta tolong daripada pelajar. Malah, saya dapat lihat dua pelajar terbaring di atas katil masing-masing, tetapi anggota bomba meminta saya turun kerana keadaan amat berbahaya,” katanya.

Rakannya, Muhd Ridzwan Abdullah 21, berkata ketika berada di tangga beliau melihat serpihan bumbung mula runtuh.

“Saya cuba masuk ke asrama, namun bahang dan serpihan bumbung yang runtuh menghalang saya. Hati saya luluh apabila saya melihat dua orang pelajar di dalam asrama, namun saya tidak dapat membantu mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia