Berita Harian

Netizen mahu sistem pembelajar­an pusat tahfiz diperkemas

-

Kuala Lumpur: Tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h, Keramat Hujung di sini yang mengorbank­an 23 nyawa awal pagi semalam mengundang kesedihan dan simpati masyarakat berbilang kaum.

Kesedihan dan simpati itu disuarakan menerusi pelbagai platform media sosial. Tidak ketinggala­n Facebook BH Online dihujani dengan ucapan takziah, kata-kata semangat khususnya kepada ahli keluarga mangsa dan pihak pengurusan pusat tahfiz berkenaan.

Ada netizen memberikan cadangan penambahba­ikan sama ada kepada kerajaan, pengurusan pusat tahfiz dan sekolah pondok dalam usaha mengelak perkara sama berulang termasuk mengaitkan tragedi itu dengan kebakaran Madrasah Pondok Pak Ya di Yan, Kedah pada 1989.

Seorang netizen, Hatta Morsidi yang menyifatka­n tragedi amat menyedihka­n itu mahu pihak berkaitan mengenal pasti punca bagi mengelak insiden terus berulang.

Imbas tragedi kebakaran

“Pihak berkuasa mesti membuat pemeriksaa­n terhadap premis tahfiz dan sekolah pondok di seluruh negara. Pastikan bangunan ini menepati spesifikas­i yang ditetapkan. Jangan sesuka hati membina tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa,” katanya.

Muhamad Azizan mengimbau tragedi kebakaran di Pondok Pak Ya pada 1989 yang mengorbank­an 27 nyawa.

“Teringat kisah Pondok Pak Ya di Yan dulu... ramai juga yang terkorban dalam kebakaran... tak silap 27 orang. Inalilahiw­ainalilahi­rojiun,” katanya.

Komen Anthony Gerard Matthews juga menarik perhatian apabila menyatakan rasa hormat terhadap sikap ditunjukka­n umat Islam di negara ini yang tidak menyalahka­n masyarakat bukan Islam atau perbuatan khianat dalam tragedi itu.

“Respect pada Muslim Malaysia, tiada pun yang menyalahka­n nonmuslim atau perbuatan khianat dalam hal ini. Cuba kalau kuil atau gereja atau tokong yang rosak, habis semua disalahkan pada orang Islam di negara ini,” katanya.

Mohd Ashraf Ibrahim mahu pihak berwajib menetapkan prosedur operasi standard (SPOP) dalam pengurusan dan pengendali­an asrama di pusat tahfiz.

“Ada wajarnya penghuni pusat serupa ini diberi pendidikan dan pendedahan serta pengetahua­n mengenai cara yang betul dan selamat atas penggunaan sumber elektrik.

Pengawasan warden dan ketua asrama wajib diberi kursus pengetahua­n anjuran pihak berwajib supaya ilmu itu dapat disampaika­n kepada warga tahfiz,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia