Berita Harian

Mangsa bawa bayi turun selamatkan diri

-

Kuala Lumpur: Seorang mangsa yang terselamat dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h, Dato Keramat, menceritak­an detik menyelamat­kan bayi dalam insiden itu semalam.

Mohd Ihsan Husin, 16, berkata bayi itu adalah anak kepada guru pusat tahfiz berkenaan yang dihulurkan kepadanya oleh seseorang.

Katanya, dia ketika itu sudah berjaya menyelamat­kan diri dan berada di tingkat dua.

Hulur bayi dari tingkat 3

“Bayi itu dihulur kepada saya dari tingkat tiga sebelum saya bawa turun.

“Sebelum kejadian saya terjaga daripada tidur kerana mendengar jiran menjerit api, lalu saya kejutkan rakan-rakan lain dan bergegas menyelamat­kan diri dengan memecahkan gril pada pintu sebelum turun tingkat dua,” katanya.

Beliau antara 14 mangsa yang berjaya menyelamat­kan diri dalam insiden malang berkenaan.

Tambahnya yang sudah empat tahun belajar di pusat berkenaan, ketika kejadian asap terlalu tebal dan hanya ada satu pintu keluar dan masuk.

Pecah tingkat, terjun

“Selepas solat Isyak (malam tadi) ada kelas sehingga jam 10.30 malam, makan malam dan jam 11 malam kami diminta tidur.

“Saya juga ada ternampak dua tong gas berhampira­n pintu bilik, agak pelik kerana sebelum ini tiada dan kami tidak dibenarkan memasak,” katanya.

Bapa seorang mangsa, Sharifuddi­n Musa, 45, berkata anaknya menyelamat­kan diri dengan memecahkan tingkap dan terjun atas ‘awning’ bangunan.

Anaknya yang melecur belakang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sharifuddi­n berkata, anaknya belajar di sekolah itu sejak setahun lalu dan setakat ini bangunan tahfiz itu tiada sebarang masalah kerana baru sahaja digunakan kira-kira setahun yang lalu.

“Saya dimaklumka­n bahawa ada dua tong gas di hadapan dorm berkenaan dan dipercayai api datang dari situ.

“Saya agak pelik macam mana dua tong gas itu berada di hadapan dorm terbabit kerana dapur berada di tingkat bawah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia