Berita Harian

Skim Tanaman Nanas MD2 tingkat hasil pekebun

Kerajaan peruntuk RM5 juta bagi pembanguna­n sektor kecil, 250 peserta bakal raih manfaat

- Oleh Adnan Ibrahim

Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumka­n Skim Tanaman Nanas MD2 bagi pekebun kecil bagi membantu meningkatk­an pendapatan mereka sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata skim itu dapat mentransfo­rmasi penanaman nanas yang mempunyai nilai premium selari dengan Dasar Agromakana­n Negara.

Katanya, skim ini diperkenal­kan susulan permintaan terhadap nanas MD2 yang tinggi termasuk bagi pasaran luar negara.

“Bagi tujuan itu, kerajaan memperuntu­kkan RM5 juta bagi pembanguna­n sektor kecil MD2 bagi tahun ini dan tahun depan yang dijangka memberi manfaat kepada 250 orang peserta dengan sasaran peluasan tanaman 300 hektar.

Sasaran 5,500 hektar

“Sasaran keluasan tanaman MD2 sehingga 2020 adalah 5,500 hektar dengan pertubuhan 22 peratus setahun dan dijangka mencapai eksport RM320 juta,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Kelompok Pengusaha Nanas Johor, di Kampung Parit Ghani, di sini semalam.

Ahmad Shabery berkata, untuk memohon skim itu, pekebun perlu memiliki keluasan tanah minimum 1.2 hektar dan maksimum empat hektar serta berdaftar dengan Lembaga Perindustr­ian Nanas Malaysia (LPNM).

Katanya, apabila permohonan diluluskan, mereka akan memperoleh bantuan minimum RM30,000 dan maksimum RM60,000 dengan jangkaan skim itu memberi manfaat kepada 250 orang peserta membabitka­n keluasan tanaman MD2 kira-kira 300 hektar.

Sementara itu, ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) Ke-39, Ahmad Shabery berkata, Malaysia mampu menjimatka­n aliran keluar mata wang negara berbilion ringgit menerusi projek penanaman jagung bagi memenuhi keperluan industri ternakan.

Import 3 juta tan jagung

Katanya, pada masa ini negara mengimport sebanyak tiga juta tan jagung bernilai RM3.2 bilion setahun dan kini projek tanaman jagung mula dijalankan di Johor, Kedah dan Terengganu dengan negara memerlukan antara 300,000 hingga 400,000 hektar untuk memenuhi keperluan makanan ternakan tempatan.

“Jika tanaman jagung ini diusahakan sepenuhnya, ia akan menjadi punca kekayaan baru kerana wang yang sebelum ini keluar mengalir dalam negara sahaja,” katanya.

 ?? [FOTO ADNAN IBRAHIM/BH] ?? Ahmad Shabery bersama pekebun kecil di Kampung Pari Ghani, Simpang Renggam, Johor, semalam.
[FOTO ADNAN IBRAHIM/BH] Ahmad Shabery bersama pekebun kecil di Kampung Pari Ghani, Simpang Renggam, Johor, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia