Berita Harian

Berlatih 9 jam sehari pastikan pingat emas

Pelatih ABM sekali lagi galas nama negara ke Abu Dhabi kategori lukisan hiasan

- Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

Akademi Binaan Malaysia (ABM) bagi tahun kedua sekali lagi menggalas nama Malaysia apabila terpilih menyertai Pertanding­an World Skills Ke-44 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dalam kategori lukisan hiasan.

Pelatih ABM berusia 20 tahun yang juga anak yatim piatu, Muhammad Zulkifli Sahdan, menjadi antara 21 individu bertuah menggalas tanggungja­wab membawa nama negara ke pertanding­an itu.

Bagi anak kedua daripada lima beradik itu, beliau komited untuk mencipta sejarah dengan membawa pulang pingat emas dalam kategori lukisan hiasan yang belum pernah dimenangi wakil negara pada Pertanding­an World Skills.

Katanya, beliau yang memulakan latihan sejak Januari lalu di ABM Wilayah Selatan selama lapan hingga sembilan jam sehari, kini yakin dapat memberikan yang terbaik dan mampu memberi saingan kepada peserta negara lain.

Kekuatan pada silibus huruf

“Ada banyak kriteria yang akan dilihat juri untuk kategori ini. Bagaimanap­un, kekuatan saya ialah pada silibus huruf dan reka bentuk dan yakin dapat mengumpul markah tinggi yang juga boleh membantu jika ada silibus yang diberi markah rendah.

“Saya akan cuba yang terbaik dan mahu mencipta sejarah untuk membawa pulang pingat emas bagi kategori ini,” katanya yang memenangi pingat emas bidang lukisan hiasan pada Pertanding­an World Skills ASEAN Kuala Lumpur di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), tahun lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat ABM Wilayah Selatan di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Supian Musa, berkata dengan kejayaan Muhammad Zulkifli terpilih ke pertanding­an itu diharap dapat mengubah persepsi masyarakat mengenai Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).

“Fokus ABM untuk memantapka­n TVET dan dengan kepakaran tenaga pengajar, kualiti dan kuantiti yang kami utamakan akan menghasilk­an ramai tenaga kerja mahir.

“Kita sememangny­a meletakkan fokus melahirkan ramai pekerja mahir kerana dengan ramainya golongan pekerja seperti ini, sekali gus dapat meningkatk­an lagi pelaburan dalam negara ini,” katanya.

Selain Muhammad Zulkifli, seorang lagi pelatih ABM yang akan mewakili negara ke World Skills Abu Dhabi 2017 ialah Marinsun Lanun, 21 daripada Sabah yang akan bertanding dalam kategori dinding dan jubin lantai.

 ?? [FOTO ZAIN AHMED/BH] ?? Muhamad Zulkifli bersama Jalur Gemilang dan peralatan yang akan digunakan pada Pertanding­an World Skills di Abu Dhabi.
[FOTO ZAIN AHMED/BH] Muhamad Zulkifli bersama Jalur Gemilang dan peralatan yang akan digunakan pada Pertanding­an World Skills di Abu Dhabi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia