Berita Harian

Rayu bantuan segera

Kanak-kanak, bayi perlu sumbangan rawat jantung berlubang

- Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

Seorang bayi lelaki dan kanak-kanak perempuan merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan serta rawatan jantung berlubang di Hospital Gleneagles, di sini.

Lim Jun Chen, 3 bulan, dikesan menghidap masalah jantung berlubang jenis VSD (Ventricula­r Septal Defect) dan memerlukan RM30,000 untuk pembedahan.

Pendapatan kurang RM2,000

Bapanya, Lim Ee Hwa, 36, seorang pemandu lori, berkata anak sulungnya yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dalam keadaan stabil tetapi pembedahan perlu dilakukan segera untuk mengikat saluran darah ke paru-paru.

“Jun Chen perlu menjalani pembedahan mengikat saluran terlebih dahulu untuk mengurangk­an aliran darah ke paru-paru serta mengelak risiko tumbesaran terganggu.

“Dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan, manakala isteri, Chan Jing Fen, 30, bekerja sebagai pembantu akauntan sambilan, kami tidak mampu menanggung kos pembedahan,” katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.

Sementara itu, Nur Hidayah Sirojuddin, 27, pula berharap Nurin Aura Latisha Muhd Zulfikli lman, 3, dapat segera dibedah kerana anaknya itu selalu letih dan kerap demam berikutan keadaan jantung yang membengkak.

Kanak-kanak itu disahkan mempunyai masalah jantung berlubang jenis AVSD (atrioventr­icular septal defect) ketika berumur lapan bulan dan memerlukan RM60,000 untuk pembedahan segera.

Nur Hidayah berkata, jantung anaknya itu membengkak akibat terdapat lubang yang luas bermula dari ruang atas jantung (upper chamber) hingga ruang bawah (lower chamber).

“Akibat keadaan jantung tidak normal, saluran itu tidak berfungsi memisahkan cecair dan oksigen. Dia kerap mengadu sakit,” katanya.

Nurin Aura Latisha dijadual menjalani pembedahan hari ini manakala Jun Chen akan dibedah dalam masa terdekat.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Media PRIMA-NSTP Humanitari­an Fund (Maybank 5141053231­70) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27148977.

 ?? [FOTO ASWADI ALIAS/BH] ?? Ee Hwa dan isteri, Jing Fen, melihat keadaan Jun Chen dirawat di ICU Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.
[FOTO ASWADI ALIAS/BH] Ee Hwa dan isteri, Jing Fen, melihat keadaan Jun Chen dirawat di ICU Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.
 ??  ?? Nurin Aura Latisha bersama ibu bapa, Nur Hidayah dan Muhd Zulkifli ketika di Hospital Gleneagles, semalam.
Nurin Aura Latisha bersama ibu bapa, Nur Hidayah dan Muhd Zulkifli ketika di Hospital Gleneagles, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia