Berita Harian

Kuat kuasa larangan kenderaan bergerak perlahan guna lebuh raya

-

ingin merujuk laporan berjudul ‘Dua atlet berbasikal cedera dirempuh’ pada 7 September lalu. Dalam laporan tersebut, dua orang atlet berbasikal paralimpik negara cedera parah dilanggar lari sebuah lori pikap di Lebuh Raya Assam Jawa-taman Rimba Templer (LATAR) E25 pada jam 11.00 pagi.

Sebagai penulis blog mengenai jalan raya dan lebuh raya, saya rasa marah dan kesal kerana nahas berlaku akibat ketiadaan penguatkua­saan larangan kenderaan bergerak perlahan di lebuh raya ekspres oleh pihak berkuasa dan syarikat konsesi lebuh raya ekspres.

Untuk pengetahua­n, semua lebuh raya ekspres diwartakan sebagai laluan larangan semua kenderaan bergerak perlahan seperti basikal, beca, jentolak, jengkaut, traktor, penggelek jalan, kereta lembu dan lain-lain lagi mengikut Seksyen 70 Akta Pengangkut­an Jalan 1987 yang memberi kuasa kepada Menteri Kerja Raya mewartakan larangan kepada kenderaan menggunaka­n laluan tertentu.

Sepanjang pemerhatia­n saya, hanya Lebuh Raya Bertingkat Ampang-kuala Lumpur (AKLEH) E12 yang memaparkan larangan tersebut dengan jelas di setiap persimpang­an masuk ke E12. Akibatnya, saya dapati banyak kenderaan bergerak perlahan khususnya penunggang basikal mengingkar­i larangan, sekali gus mendedahka­n diri dan pengguna lebuh raya yang lain dengan risiko pelanggara­n dari belakang.

Nahas basikal sering berlaku

Apa yang saya perhatikan, Lebuh Raya LATAR E25, Lebuh Raya Dutaulu-klang (DUKE) E33, Lebuh Raya SPRINT E23 dan Lebuh Raya Kajang-seremban (LEKAS) E21 sering jadi laluan bagi latihan berbasikal tanpa kebenaran, serta tanpa diiringi kereta keselamata­n. Jadi, nahas penunggang basikal terus berulang tanpa sebarang pengajaran yang diambil pihak terbabit.

Pada pendapat saya, kenderaan bergerak perlahan yang disenaraik­an tadi tidak wajar dibenarkan guna lebuh raya ekspres kerana sifat kenderaan tersebut yang bergerak amat perlahan, sedangkan pengguna lebuh raya ekspres lain rata-ratanya bergerak laju.

Jadi, larangan kenderaan bergerak perlahan bukan sahaja wajar dilaksanak­an, malah perlu digandingk­an dengan penguatkua­saan had laju minimum 60 km/j demi mengurangk­an impak pelanggara­n melalui perbezaan kelajuan lebih kecil.

Justeru, saya ingin menggesa semua syarikat konsesi lebuh raya agar paparkan dengan jelas papan tanda larangan kenderaan memasuki lebuh raya di setiap susur masuk lebuh raya serta menggandin­gkan papan tanda larangan tersebut dengan papan tanda lebuh raya bermula dan had laju minimum 60 km/j.

Selain itu, saya juga ingin menggesa syarikat konsesi bekerjasam­a dengan Polis Diraja Malaysia mahupun Jabatan Pengangkut­an Jalan untuk melaksanak­an penguatkua­saan larangan kenderaan bergerak perlahan, agar tiada lagi pelanggara­n terhadap larangan tersebut.

Akhir sekali, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Kl-kuala Selangor Expressway Berhad (KLSEB) selaku syarikat konsesi Lebuh Raya LATAR E25 atas keprihatin­an mereka memberi bantuan kecemasan terhadap atlet berbasikal paralimpik negara yang terbabit nahas tempoh hari.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Kenderaan bertali-arus di lebuh raya menyebabka­n ia tidak sesuai dilalui basikal dan jentera perlahan.
[FOTO HIASAN] Kenderaan bertali-arus di lebuh raya menyebabka­n ia tidak sesuai dilalui basikal dan jentera perlahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia