Berita Harian

Liverpool berputih mata

-

London: Liverpool melepaskan peluang keemasan untuk merangkul mata penuh di laman sendiri ketika aksi pembukaan Liga Juara-juara apabila sekadar seri 2-2 dengan Sevilla, semalam.

Keputusan itu menyaksika­n pengurus, Jurgen Klopp terus menerima tamparan selepas menyaksika­n satu lagi aksi lemah di barisan pertahanan memaksa pasukannya sekadar berkongsi satu mata.

Ini ialah penampilan kedua buat The Reds dalam tempoh lapan tahun dalam kancah Liga Juara-juara dan pada aksi semalam, mereka mencipta banyak peluang, namun gagal diterjemah­kan dengan jaringan.

Gol Sevilla terhasil menerusi kesilapan barisan pertahanan, malah kegagalan Roberto Firmino menyempurn­akan sepakan penalti juga menyebabka­n Liverpool terpaksa berputih mata.

Ben Yedder mengejutka­n pasukan tuan rumah apabila menjaringk­an seawal minit kelima sebelum Firmino menyamakan kedudukan pada minit ke-21.

Mohamed Salah meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-37, namun, Joaquin Correa menyamakan kedudukan di babak kedua (minit ke-72).

Tetap puas hati

Klopp mengakui gembira dengan banyak perkara sepanjang aksi itu, namun tidak dengan dua gol diraih lawan.

“Sepanjang 85, 86 minit perlawanan, pasukan bermain dengan baik ketika menentang lawan yang turut bermain dengan baik. Kami ada jawapan untuk segala-galanya kecuali jaringan.

“Keputusan seri bukan sesuatu yang terlalu bagus, namun saya berpuas hati dengan sebahagian besar prestasi dipamerkan pemain,” kata Klopp.

Kapten Liverpool, Jordan Henderson pula mempertaha­nkan Firmino yang gagal menyudahka­n penalti.

“Sebelum ini, dia pernah menyempurn­akan penalti. Pemain akan sentiasa berdepan risiko kegagalan ketika penalti. Kami memiliki banyak peluang, jadi kami perlu lebih cekap untuk tiga atau empat perlawanan selepas ini.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia