Berita Harian

Misi besar James

Atlet kudung tangan sanggup datang dari Australia demi negara

- Oleh Mohd Khairie Khalid

Perenang berdarah kacukan Malaysia-united Kingdom, James Wong Tien Yu mempunyai misi besar di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) yang akan membuka tirainya, Ahad ini.

James berkata, selain memburu pingat emas dalam ketiga-tiga acara yang disertai, dia turut berharap dapat menempah tiket ke Sukan Komanwel Gold Coast, Australia dan Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia tahun depan.

Namun, di sebalik keghairaha­n itu dia sedar misi itu bukan mudah kerana bakal mendapat saingan sengit daripada dua perenang yang beraksi di Sukan Paralimpik Rio 2016 iaitu Ernie Gawilan dari Filipina dan Nguyen Quang Vuong dari Vietnam.

Tamat pengajian

“Sekiranya saya mahu misi besar itu tercapai, saya tiada pilihan selain perlu memperagak­an aksi terbaik dalam ketiga-tiga acara iaitu 100m kuak dada, 100m kupu-kupu dan 200m rampaian individu,” katanya yang kudung tangan kiri selepas tamat sesi latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.

James yang berusia 23 tahun tiba di Kuala Lumpur minggu lalu demi mewakili negara dan dijadual kembali ke Australia pada 2 Oktober depan.

Anak kepada pasangan Wong Chin Yuan dan Louise Bureau itu sudah menamatkan pengajian di University of Adelaide, Australia tahun lalu dan kini berkhidmat sebagai jurulatih di Kelab Renang Norwood selain berlatih secara sepenuh masa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia