Berita Harian

‘Semua gelanggang mesra OKU’

- Oleh Khairil S Iswan

Kuala Lumpur: Semua venue bagi Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) yang dijamin mesra orang kurang upaya (OKU) sudah bersedia sepenuhnya tatkala temasya itu berbaki dua hari lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika melawat salah satu venue di Pusat Pameran dan Perdaganga­n Antarabang­sa Malaysia (MITEC) jelas berpuas hati dengan persiapan yang dijalankan terutama bagi memenuhi keperluan atlet dan penonton istimewa.

“Segala persiapan berjalan seperti yang dirancang dengan venue pertanding­an nampaknya sudah bersedia untuk terima atlet dan penyokong bagi pertanding­an nanti,” kata Khairy.

“Dari sudut persiapan, kita buat pelbagai pengubahsu­aian terutama untuk atlet dan penyokong OKU. Jadi beberapa pengubahsu­aian sudah dibuat antaranya akses yang lebih mudah.

Ubahsuai tandas

“Di beberapa venue, kita sudah sediakan beberapa ‘ram’ bagi bolehkan mereka yang berkerusi roda untuk masuk ke gelanggang serta kawasan yang dikhaskan untuk penonton yang datang berkerusi roda,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata pihak penganjur turut membuat pengubahsu­aian termasuk tandas yang memberi kemudahan kepada mereka yang berkerusi roda selain pengangkut­an awam.

“Jika kita hanya bergantung kepada tandas OKU, ia memang tidak cukup. Sebab hanya ada satu tandas OKU untuk satu kawasan. Jadi tandas biasa ini diubahsuai supaya sesiapa yang berkerusi roda juga boleh menggunaka­nnya di mana pintunya dibesarkan.

“Dari sudut pengangkut­an, kita sediakan tempat letak kereta untuk OKU. Di sebahagian venue kita ada buggy yang boleh bawa atlet dari tempat letak kereta dan atlet disediakan dengan bas mesra OKU.”

MITEC akan menjadi venue bagi tujuh acara sukan iaitu boccia, bola tampar duduk, angkat berat, ping pong, catur, goalball dan bola keranjang kerusi roda.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia